Hanya APBN boleh keluar arahan






Arahan operasi kepada setiap agensi keselamatan yang terbabit dalam pengurusan bencana banjir, hanya boleh dikeluarkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (APBN) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menegaskan perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, ia bagi memastikan tidak berlaku sebarang pertindihan arahan sekiranya bencana itu berlaku.

"Semua agensi berada dalam Agensi Pengurusan Bencana Negara...jadi percanggahan akan berlaku lagi sekiranya mana-mana jabatan tidak mengikut arahan daripada agensi tersebut," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Shahidan berkata, adalah wajar untuk meletakkan setiap agensi keselamatan yang terlibat dengan bencana, di bawah ABPN.

Katanya, satu pertemuan dijangka diadakan untuk membincangkan berhubung pembahagian tugasan antara agensi-agensi untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR), kebajikan dan juga berhubung tebatan banjir.

"Mungkin kita akan berbincang dengan menteri berkaitan berhubung dengan bahagian mencari dan menyelamat, soal kebajikan dan juga bincang berkenaan tebatan banjir," katanya.

Pada 2 September lalu, Shahidan berkata kerajaan menubuhkan APBN bagi menyelaras dan mengurus bantuan bencana dalam negara dengan lebih teratur dan efektif.

APBN adalah sebuah agensi baharu di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang mengambil alih tugas dan peranan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam penyelarasan serta pengurusan bencana.

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi