TPM Saran Anggota PAC Angkat Sumpah Simpan Rahsia

 

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan semua anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengangkat sumpah simpan rahsia bagi memastikan kerahsiaan maklumat serta dokumen siasatan jawatankuasa itu sentiasa terpelihara.

Katanya perkara itu telah dibangkitkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia kerana kerajaan berpendapat amalan angkat sumpah simpan rahsia itu sebagai perlu.


"Angkat sumpah ini bertujuan mengelakkan berlakunya kebocoran dokumen atau maklumat siasatan selain itu kita mahu pastikan semua perkara yang dibincang dalam mesyuarat PAC tidak dibawa keluar.

"Sebarang pernyataan atau laporan hendaklah dibuat secara rasmi oleh anggota Jawatankuasa PAC dan bukannya pendapat peribadi," katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Bagaimanapun Ahmad Zahid berkata, Pandikar Amin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemilih Parlimen memaklumkan bahawa perkara itu perlu dirujuk kepada Penasihat Undang-Undang terlebih dahulu.

Turut hadir Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said dan Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Ahmad Zahid berkata sekiranya cadangan itu dilaksana, tidak timbul isu kerajaan menyembunyikan sebarang maklumat berhubung siasatan yang dijalankan oleh PAC kerana jawatankuasa itu dianggotai oleh anggota Parlimen daripada pelbagai parti politik.

"Anggota Jawatankuasa PAC tidak terdiri daripada orang kerajaan sahaja. Ada daripada pembangkang. Tidak ada yang terkecuali," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut memaklumkan bahawa senarai nama anggota Jawatankuasa PAC Barisan Nasional (BN) yang baharu akan diumum dalam masa terdekat pada persidangan Dewan Rakyat oleh Pandikar Amin.

Katanya BN telah mengemukakan beberapa nama bagi menggantikan anggota sebelum ini berlandaskan peraturan yang telah ditetapkan Jawatankuasa Pemilih Parlimen.

"Saya tidak perlu umum secara rasmi sebab saya sudah serahkan kepada Pandikar Amin untuk kemukakan kerana beliau adalah Pengerusi Jawatankuasa Pemilih Parlimen," katanya.

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada