Tahap Keselamatan Di Daerah Belaga Dipertingkatkan



Tahap keselamatan di daerah Belaga dan kawasan berdekatan sempadan Indonesia akan dipertingkatkan tidak lama lagi, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya satu rejimen tentera sempadan akan ditempatkan di sana manakala kekuatan anggota RELA setempat juga akan ditambah.
Beliau berkata demikian pada sesi bertemu rakyat di Dewan Komuniti Belaga.

Terdahulu, beliau merasmikan jalan Persimpangan Menjawah-Bakun, sebuah projek di bawah konsep Jiwa Murni angkatan tentera selain turut melancarkan projek serupa di Jalan Menjawah-Nanga Merit.

Zahid berkata pengukuhan tahap keselamatan itu adalah perlu disebabkan dua projek empangan hidroelektrik yang besar iaitu Bakun dan Murum dibangunkan di sini selain terdapat banyak penempatan yang dekat dengan sempadan.

"Tahap keselamatan yang dipertingkatkan ini akan memberi manfaat kepada semua," katanya.

Mengenai jalan persimpangan Menjawah-Bakun sepanjang 38 kilometer, beliau berkata jalan itu dibina oleh kor kejuruteraan angkatan tentera pada kos RM68 juta.

Katanya jika kerajaan menerusi Jabatan Kerja Raya membina jalan terbabit, kosnya mungkin mencecah RM600 juta.

Beliau turut mengumumkan geran kerajaan sebanyak RM37 juta bagi projek bekalan tenaga di Kawasan Penempatan Sungai Asap dan RM4 juta bagi projek pengindahan tebingan bandar Belaga.

Zahid berkata projek berkenaan tidak seharusnya dianggap sebagai hadiah pilihan raya, sebaliknya merupakan komitmen ikhlas kerajaan untuk membantu rakyat.

Sementara itu ketika ditemui, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zin berkata beliau masih meneliti cadangan penubuhan rejimen sempadan itu.

Beliau berkata hasrat itu mungkin menjadi kenyataan dalam tempoh dua tahun dari sekarang namun beliau berharap ia dapat dilaksanakan secepat mungkin.

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada