Peruntukan Tambahan Pembinaan Kuarters Di Pedalaman Sarawak Akan Diselaras Dalam RMK11


Peruntukan tambahan bagi penyediaan kuarters kediaman penjawat awam di kawasan pedalaman akan diselaraskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Penyelarasan itu katanya, akan dilaksanakan melalui pengumuman bajet setiap tahun oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Ini selaras dengan komitmen perdana menteri untuk menyediakan kemudahan kediaman kepada penjawat-penjawat awam bukan sahaja guru-guru malah polis, tentera dan penjawat dari jabatan-jabatan lain beroperasi di kawasan pedalaman," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika menjawab pertanyaan pemberita mengenai permohonan para guru di pedalaman Sarawak agar lebih banyak kuarters kediaman dibina untuk mereka.

Terdahulu, beliau mendengar taklimat mengenai Stesen Janakuasa Hidro Elektrik Bakun oleh Pengurus Persekitaran dan Kesihatan Sarawak Hidro Sdn Bhd, Ten Wuon Ping di Clubhouse Bakun Township di Empangan Bakun di sini hari ini.

Difahamkan ada antara guru yang berkhidmat di pedalaman terpaksa menyewa kediaman di rumah panjang kerana kekurangan kuarters dan ini menimbulkan suasana yang agak tidak selesa seperti sukar melakukan solat.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, beliau akan berunding dengan Najib untuk mendapatkan peruntukan khas bagi pembinaan jalan sejauh 132km dari Belaga ke Pelagus di bawah Projek Jiwa Murni yang akan dijalankan oleh Kor Jurutera Angkatan Tentera Malaysia.

Ditanya sama ada kerajaan akan menyediakan pengangkutan untuk murid-murid di pedalaman Sarawak untuk balik ke rumah keluarga mereka sebagaimana yang dilakukan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk murid-murid di 94 sekolah kebangsaan Orang Asli di Semenanjung, beliau berkata beliau akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan mengenai implikasi kos yang terlibat sebelum membuat sebarang keputusan.

Mengenai lawatan kerjanya kali ketiga ke Sarawak dalam tempoh tiga bulan, beliau berkata ianya untuk menterjemahkan keprihatinan Kerajaan Persekutuan bagi memperkukuhkan jalinan hubungan di dalam apa yang dipanggil 'penurunan kuasa' kepada Sabah dan Sarawak melalui komitmen yang diperlihatkan oleh perdana menteri.

Lawatan kerja itu juga adalah bagi melihat perlaksanaan beberapa program pembangunan yang telah dijanjikan oleh perdana menteri seperti Sekolah Menengah Kebangsaan Bakun tetapi juga permohonan-permohonan program pembangunan oleh wakil-wakil rakyat dari Sarawak.

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada