Pengeluar Farmaseutikal Global Dipelawa Guna Malaysia Hab Halal Serantau






Malaysia menggesa pengeluar farmaseutikal global menimbang negara ini sebagai hab serantau baharu bagi memenuhi keperluan pengembangan pasaran halal global.

Dalam membuat saranan itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pemain industri tempatan juga digesa untuk mengikuti perkembangan terkini berkaitan pengetahuan dan teknologi industri tersebut.

"Pemain industri tempatan perlu menggandakan usaha mereka untuk meletakkan Malaysia di barisan hadapan dalam industri penjagaan kesihatan dan farmaseutikal global," katanya semasa merasmikan Forum Inisiatif Halal dalam Industri Penjagaan Kesihatan, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Industri Halal, Datuk Seri Jamil Bidin.

Ahmad Zahid berkata permintaan global bagi farmaseutikal halal diunjur bernilai RM349 bilion (US$82 bilion) tetapi penawaran semasa dianggarkan hanya RM8.5 juta (US$2 juta), menyediakan peluang perniagaan yang amat besar sebanyak RM340 juta (US$80 juta) untuk diteroka.

"Sudah pastinya terdapat peluang yang amat besar di sini dengan masa depan yang sangat cerah dan Malaysia memainkan beberapa peranan yang penting di sini. Pada Ogos tahun ini, sudahpun ada 110 pengeluar farmaseutikal diperakui Halal di Malaysia termasuk 24 pengeluar sedia eksport.

"Malaysia juga merupakan salah satu daripada hanya beberapa negara di rantau ini yang diterima memasuki Pharmaceutical Inspection Cooperation Scheme.

"Ini menunjukkan industri tempatan telah membangunkan standard pembuatan yang tinggi," katanya, sambil menambah ini akan membukakan lagi eksport Malaysia ke negara ahli skim tersebut, termasuk ahli dari Kesatuan Eropah, Australia dan Kanada.

"Satu bidang berpotensi yang sudah sampai masanya untuk diteroka ialah makanan tambahan berasaskan herba dan ubatan dibeli di kaunter. Dengan ramuan yang betul, produk ini boleh ditukarkan menjadi produk halal.

"Juga terdapat peluang untuk memanfaatkan pelbagai flora dan fauna semula jadi Malaysia bagi menghasilkan ubatan biogenerik berasaskan sumber.

"Malaysia merupakan satu dari 12 negara di dunia yang mempunyai kepelbagaian bio dan menawarkan potensi tinggi untuk mendapatkan sumber sebatian aktif bagi produk kesihatan dan penyembuhan," katanya.

Mengenai pelancongan Halal, Ahmad Zahid berkata Malaysia merupakan destinasi utama dan sebagai peneraju, negara sudah pastinya melengkapkan sektor pelancongan perubatan bagi orang Islam di seluruh dunia.

Malaysia menjangka menerima kedatangan lebih 930,000 pelancong perubatan dengan anggaran perolehan hasil mencecah RM1 bilion setiap tahun, katanya.

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada