Malaysia Akan Wujud Pusat Digital Pantau Ideologi, Propaganda IS


Malaysia akan mewujudkan Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi (RDC3) untuk memerangi penyebaran ideologi dan propaganda kumpulan militan IS menerusi internet.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Amerika Syarikat telah memilih Malaysia susulan komitmennya dalam menangani ancaman keganasan antarabangsa dan kegiatan jenayah rentas sempadan.


"Malaysia dipilih selain UAE (Emiriyah Arab Bersatu) kerana kepercayaan atas komitmen kita terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tangani keganasan.

"Oleh kerana banyak langkah merekrut telah dilakukan melalui sosial media, pusat ini diwujudkan untuk memantau semua pergerakan yang dijangka dilakukan pihak pengganas atau pihak berpotensi lakukan keganasan.

"Dalam hal ini negara ASEAN, Australia, New Zealand dan beberapa negara terdekat akan gunakan pusat ini sebagai pusat rujukan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Peralatan Polis Asia 2015 (GPEC 2015) di sini Rabu.

Sementara itu, Ahmad Zahid memberitahu sebanyak RM500 juta nilai perjanjian pembelian aset dijangka ditandatangani PDRM dan agensi-agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada persidangan GPEC kali keempat itu.

Katanya, PDRM bukan sahaja memperkuatkan latihan pegawai dan anggotanya, malah perlu juga melengkapkan mereka dengan aset canggih sesuai dengan peredaran semasa.

"PDRM memerlukan peralatan canggih ini untuk memantau dan membanteras keganasan," katanya.

Sementara itu, mengenai Bajet 2016 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat ini, Menteri Dalam Negeri itu berkata pihaknya memberi tumpuan pada kemudahan penempatan pasukan polis.

"Kami menjangkakan peruntukan diberikan untuk naik taraf kemudahan penempatan serta membangunkan atau membina kemudahan baharu untuk pasukan polis," katanya.

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada