Khidmat Rela Ditawarkan Bantu Penguat Kuasa KPDNKK


Khidmat 3.6 juta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ditawarkan untuk membantu memperkasa pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia merupakan kerjasama pintar di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan KPDNKK bagi menampung kekurangan pegawai penguat kuasa KPDNKK.

"Saya mendapat tahu bilangan pegawai penguat kuasa di kementerian ini (KPDNKK) agak kurang. Maka saya ingin tawarkan supaya 3.6 juta anggota Rela turut dilibatkan untuk membantu penguat kuasa kementerian berkenaan.

"Anggota Rela seramai 3.6 juta orang juga adalah pengguna. Jadi keprihatinan mereka sudah tentu dapat membantu melestarikan aspek penguatkuasaan," katanya semasa melancarkan Hari Pengguna Kebangsaan 2015 di sini hari ini.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata beberapa akta mungkin perlu dilihat semula bagi membolehkan langkah itu dilaksanakan.

Pada sidang akhbar selepas itu, Ahmad Zahid berkata:"Jadi pihak kementerian melalui menteri dan timbalan menteri boleh membawa pindaan akta ini sebagai draf kepada Jabatan Peguam Negara sebelum dikemukakan di Dewan Rakyat untuk pindaan.

"Saya yakin perkara ini boleh dilakukan demi menjaga kepentingan pengguna," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata anggota Rela yang terlibat akan menjadi 'mata' dan 'telinga' KPDNKK dan membantu kerja pemantauan.

"Walaupun sebelum pindaan akta ini mereka tidak mempunyai kuasa tetapi dari segi fizikalnya mereka boleh membantu pegawai-pegawai yang ada untuk melakukan gerakan dengan diawasi pegawai KPDNKK," katanya.

Kini terdapat kira-kira 2,300 pegawai penguat kuasa KPDNKK di seluruh negara.

Menyentuh kenaikan harga barang, Ahmad Zahid berkata adalah tidak adil untuk menyalahkan kerajaan semata-mata.

"Saya merasakan di dalam situasi ekonomi yang tidak menentu bukan saja di negara kita dan Asean malah di peringkat global, tentu banyak pihak mahu salahkan kerajaan dan kementerian dan kepimpinan, bahawa harga pengguna ditentukan oleh kerajaan. Itu tanggapan mereka.

"Sebenarnya apa yang berlaku, indeks harga pengguna ditentukan oleh pasaran dan antara faktor kepada tolakan ke pasaran ini ialah para peniaga dan pedagang," katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata kerajaan perlu menjalin hubungan rapat dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan penguat kuasa demi memastikan hak pengguna terbela.

"Dalam hal ini, saya rasakan bahawa apabila terdapat kombinasi baik antara penguat kuasa dan NGO, tentu ia dapat melestarikan program yang dirangka pihak kerajaan," katanya.

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada