Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mengarahkan sebuah syarikat kawalan keselamatan mengemukakan surat tunjuk sebab berhubung tindakan pengawal keselamatan yang menjadi suspek kejadian rogol dan bunuh pelajar Tingkatan Lima di Teluk Kumbar, Pulau Pinang Ahad lalu.

Menurut Ahmad Zahid, syarikat tersebut perlu mengemukakan sebab mengapa mengambil pekerja yang mempunyai rekod jenayah dan tidak memberhentikan tugas suspek.

"Kita akan melakukan surat tunjuk sebab kepada syarikat berkenaan dan kalau memang pekerja itu mempunyai rekod jenayah sebelum itu atau seorang penagih dadah, maka kita akan bertanya dengan syarikat itu, kenapa tindakan pembatalan tidak boleh dilakukan.

"Dalam hal ini, saya telah memberitahu kepada beberapa pegawai saya di Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar pemantau yang dilakukan dalam hal ini dilakukan dengan teliti dan bukan dilakukan dengan sambil lewa sahaja," tegas Ahmad Zahid dalam temubual eksklusif bersama Astro AWANI di Parlimen hari ini.

Beliau turut menyelar syarikat-syarikat kawalan keselamatan yang tidak membuat penelitian serta saringan terperinci terhadap individu yang akan diambil bekerja.

"Dalam hal ini, komitmen pihak syarikat terutama apabila mempunyai pegawai atau pekerja yang disyaki mempunyai latar belakang penagih dadah ataupun rekod jenayah, kami ingin nasihatkan supaya sebuntu mana sekali pun untuk mengambil mereka sebagai pekerja.

"Keutamaan hendaklah diutamakan bagi menjaga keselamatan sesuatu kawasan pertanggungjawaban. Dalam hal sekolah, keutamannya supaya mengambil pekerja atau pegawai yang ada integriti, sahsiah, personaliti dan juga kemampuan untuk menjaga keselamatan. Bukan mengharapkan pagar, pagar makan padi," kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri.

Katanya, KDN akan berterusan menjalankan bukan sahaja kursus-kursus tetapi melakukan pemantauan terhadap pegawai dan pekerja-pekerja dalam sektor kawalan keselamatan.

"Kita merasakan mungkin terdapat beberapa kelonggaran yang harus kita perketatkan dan kita lihat setakat ini pengarah-pengarah dan pemilik saham syarikat-syarikat berkenaan (kawalan keselamatan) juga diwajibkan untuk menghadiri kursus-kursus yang kita lakukan.

"Mereka tidak boleh menyewakan atau menganggap bidang perniagaan ini merupakan bidang perniagaan separuh masa. Mereka harus berikan tumpuan sepenuh masa jika lesen mahu diteruskan," ujar Ahmad Zahid yang menegaskan kejadian yang berlaku di Bayan Lepas pada Ahad lalu bukanklah kes yang terasing.

Ahad lalu, pelajar perempuan Tingkatan Lima, Intan Suraya Mawardi yang ditemui mati di rumah keluarganya di Teluk Kumbar didapati telah dirogol sebelum dibunuh teman lelakinya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Datuk Zakaria Ahmad berkata suspek berusia 20 tahun itu mengaku melakukan perbuatan itu akibat cemburu.

Malah, Zakaria mengesahkan suspek turut mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

Popular posts from this blog

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi