Jerebu: Malaysia Tidak Akan Beri Tekanan Kepada Indonesia


Malaysia tidak akan mengenakan sebarang bentuk tekanan kepada Indonesia untuk menangani gejala jerebu rentas sempadan yang berpunca dari republik itu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata langkah sedemikian adalah tidak adil kepada Indonesia yang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mengatasi kebakaran tanah gambut yang berlaku.
"Adalah tidak adil untuk mengenakan sebarang tekanan kepada Indonesia. Presiden Joko Widodo juga telah memperlihatkan komitmen tinggi untuk menyelesaikan masalah ini secara jangka panjang," katanya kepada wartawan selepas merasmikan Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya yang pertama di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut menggesa semua pihak yang menerima kesan daripada masalah jerebu ini supaya jangan terus menuding jari menyalahkan satu sama lain.

Katanya sebaliknya semua negara ASEAN harus bekerjasama untuk membantu Indonesia mencari jalan penyelesaian jangka panjang kepada masalah itu.

"Kita juga harus bersimpati dengan Indonesia dalam mengatasi masalah ini. Jangan mengkritik mereka sahaja.

"Pada masa yang sama, saya juga harap tiada pihak di Indonesia yang salahkan pelabur Malaysia yang membuka ladang sawit di sana sebagai punca kebakaran,".

Ahmad Zahid berkata Malaysia juga bersedia untuk berkongsi amalan terbaik penanaman kelapa sawit kepada Indonesia dalam usaha mengurangkan kebakaran dan mengatasinya di masa akan datang.

"Secara peribadi, saya telah cadangkan kepada Presiden Indonesia (Joko Widodo) mengenai amalan terbaik penanaman ladang besar Malaysia yang beroperasi di sana," katanya.

Mengambil contoh sistem yang digunakan TH Plantation di Riau, katanya selang setiap dua baris pokok sawit akan dibina sebuah perparitan yang berfungsi menyalurkan air untuk tanaman dan mengatasi kebakaran daripada merebak jika ia berlaku.

Katanya, bagaimanapun ia terpulang kepada kerajaan Indonesia untuk memperkenal sistem penanaman sawit yang terbaik kerana ia memerlukan kos tinggi dan kerjasama daripada peladang kecil.

Menurut kajian Jabatan Alam Sekitar, 97 peratus pembakaran tanah gambut berpunca daripada peladang kecil sawit yang masih menggunakan cara tradisional untuk penanaman mereka.

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada