Bajet 2016 Bukti Pencapaian Kerajaan Beri Tumpuan Kepada Golongan Sasar


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Bajet 2016 bukti pencapaian kerajaan apabila wujudnya kesinambungan tumpuan daripada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) kepada golongan berpendapatan pertengahan (M40).

Beliau berkata intipati bajet itu yang menyentuh berkenaan golongan sasaran berkenaan menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam meningkatkan pendapatan rakyat yang amat bersesuaian dengan temanya iaitu 'Mensejahtera Kehidupan Rakyat' dalam situasi ekonomi yang mencabar.

"Bajet ini bererti kerajaan juga mengambil keprihatinan kepada kumpulan berpendapatan sederhana di mana pengurangan cukai yang memperlihatkan bahagian gaji bersih golongan pertengahan ini lebih tinggi berbanding dalam Bajet tahun lalu.

"Dalam memberi tumpuan kepada kedua-dua golongan (B40 dan M40) ini, golongan berpendapatan tinggi terpaksa dikenakan cukai lebih tinggi. Ini bererti terdapat pengagihan pendapatan daripada golongan pendapatan tinggi ini demi menjaga kepentingan golongan yang berpendapatan sederhana dan rendah," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen selepas pembentangan Bajet 2016 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat di sini Jumaat.

Golongan M40 ditafsir sebagai golongan isu rumah berpendapatan antara RM3,860 hingga RM8,320.

Pada pembentangan itu, Najib mengumumkan Bajet berjumlah RM267.2 bilion yang memperuntukkan RM215.2 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM52 bilion bagi pembangunan. Kerajaan mengunjurkan pendapatan bagi 2016 sebanyak RM225.7 bilion.

Ahmad Zahid juga menyifatkan bajet itu turut memberi perhatian dan nilai tambah kepada institusi kekeluargaan melalui pelepasan cukai kepada anak-anak yang memelihara ibu bapa.

Mulai tahun depan, buat julung kalinya, anak-anak yang menyara ibu bapa walaupun tidak tinggal bersama akan diberi pelepasan cukai terkumpul sebanyak RM1,500 masing-masing untuk ibu dan bapa dengan syarat, ibu dan bapa masing-masing tidak berpendapatan melebihi RM2,000 sebulan dan berumur 60 tahun ke atas.

Menyentuh mengenai bajet kementerian, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata penambahan 500 Rondaan Bermotosikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 500 kereta peronda dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM35 juta membuktikan kerajaan amat menitikberatkan aspek keselamatan.

"KDN berbanyak terima kasih kerana keprihatinan kerajaan bukan hanya dalam soal pencegahan banteras jenayah tetapi dari segi kebajikan pegawai anggota PDRM dengan pembinaan 2,000 kuarters, ia memberi harapan dan motivasi kepada anggota yang bertugas 24 jam, 7 hari.

"Penambahan Unit Rondaan Bermotosikal (URV) sebanyak 500 unit dan kereta peronda MPV 500 unit memperlihatkan bahawa usaha pembanterasan jenayah tetap dilakukan dengan terjemahan kepolisan moden iaitu dengan memberi aset dan peralatan moden pada apa yang kita kenali sebagai 'omnipresent' (kehadiran polis) untuk pegawai dan anggota berada di kawasan sasaran," katanya.

Sebanyak RM31.2 bilion diperuntukkan dalam Bajet 2016 bagi meningkatkan tahap keselamatan dan ketenteraman awam serta pertahanan negara, termasuk melengkapkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan penggunaan Sistem Pesawat Tanpa Pemandu.

Najib berkata penggunaan teknologi terkini itu adalah bagi meningkatkan keupayaan 'Risikan, Pemantauan dan Peninjauan' agensi di bawah Kementerian Pertahanan selain tambahan 2,000 unit rumah mampu milik bagi anggota PDRM, turut dirancang dibina di Rawang, Selangor dan kawasan-kawasan lain yang dikenal pasti.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai dakwaan pembangkang yang mengatakan bajet 2016 sebagai 'gula-gula' menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak, Ahmad Zahid berkata: Ia satu komen positif daripada mereka (pembangkang)...tentu saja.

Ditanya tentang tindakan pembangkang yang membawa sepanduk antaranya tertulis (Mana RM2.6 bil) ketika sesi pembentangan oleh perdana menteri, Ahmad Zahid yang juga naib presiden UMNO menyifatkan tindakan pembangkang itu seperti 'tidak berpijak di bumi yang nyata'.

"Tahun lepas, mereka bentang bajet dengan cara angkat bajet jingga tetapi jelas mereka tidak dapat memberi rasionaliasi dari segi hasil daripada perbelanjaan iaitu mereka tidak dapat berikan input baik di manakah pendapatan negara bagi perbelanjaan yang dikemukakan," katanya.

Beliau berkata perbuatan itu menunjukkan pembangkang kekurangan modal kerana mereka yang dahulunya menentang pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) menerimanya dengan memasukkan GST dalam dokumen bajet mereka sepertimana dilaporkan dalam media sosial.

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada