Anggota UMNO Perlu Terus Hormati Pucuk Pimpinan


Anggota UMNO perlu terus memberi sokongan dan menghormati pucuk pimpinan sekiranya mahu parti terus utuh, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata mereka juga tidak seharusnya memberi pandangan berbeza terhadap kepimpinan sehingga boleh menjejaskan parti.

"Kita harus berikan dokongan terhadap kepimpinan yang ada sekarang ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Pengguna Kebangsaan 2015 di Dataran Merdeka di sini, hari Ahad.

Ahmad Zahid diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu forum di Johor Baharu semalam, berhubung perubahan kepimpinan peringkat parti dan negara suatu ketika dahulu.

Muhyiddin antara lain dilaporkan berkata beliau pernah menolak saranan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri susulan kekalahan Barisan Nasional pada pilihan raya umum 2008.

Sambil berkata beliau menghormati pendapat dan perasaan Muhyiddin, namun Ahmad Zahid berkata adalah lebih baik bekas timbalan perdana menteri itu "berhenti bernostalgia dan menerima realiti."

Ditanya mengenai desakan sekumpulan anggota UMNO Bahagian Telok Kemang, yang mendakwa mewakili 13 cawangan parti itu, supaya presiden parti meletakkan jawatan, beliau berkata UMNO belum menerima memorandum mengenai perkara itu.

"Jika kita terima memorandum itu, kita akan teliti," katanya.

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada