Zahid Gesa Pertingkat R&D Ramuan Bagi Produk Halal


Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa agar penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi dalam industri halal dipertingkatkan, terutama yang berkaitan dengan ramuan bagi produk halal.

Timbalan Perdana Menteri berkata langkah itu perlu disebabkan pengeluar berusaha mencari alternatif dalam menggunakan produk berkenaan bagi menggantikan ramuan yang biasanya tidak halal.

Beliau berkata mana-mana produk halal baharu perlu menjalani R&D yang teliti dan mesti dibuktikan secara saintifik sebagai halal.

"Sektor ini penting kerana ia satu daripada komponen utama, amat penting bagi kelestarian mana-mana industri halal," katanya ketika merasmikan Persidangan Ramuan Halal Asia (HLIA) 2015 di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata sektor ramuan halal dikenal pasti sebagai satu daripada laluan pemprosesan paling kritikal dalam rantaian nilai halal.

Selain R&D yang terhad, Ahmad Zahid berkata syarikat pembuatan ramuan halal terpaksa berdepan dengan bahan-bahan mentah yang terhad untuk pengeluaran produk-produk halal.

Merujuk gelatin halal sebagai contoh, beliau berkata bekalan untuk bahan berkenaan masih rendah dan lebih daripada 90 peratus gelatin adalah berasaskan haiwan.

"Jurang yang besar ini menawarkan peluang perniagaan dan pelaburan kepada peserta industri," katanya.

Gelatin adalah antara bahan yang paling banyak digunakan terutamanya dalam pengeluaran makanan, kosmetik dan produk farmaseutikal.

Ahmad Zahid berkata pada masa ini, terdapat 188 syarikat mengeksport produk halal ke Malaysia.

HLIA 2015 dilihat sebagai titik pertemuan kepada pemain industri ramuan produk halal dan profesional untuk berbincang, berkongsi dan menyampaikan pandangan serta kemajuan teknologi piawaian dan bahan-bahan alternatif bagi meningkatkan sektor ramuan produk halal.

Ia dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Industri Halal.

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi