Masalah Berakhir Bagi 1,600 Orang Di Sarawak Hadapi Masalah Dokumen

Kementerian Dalam Negeri telah meluluskan permohonan daripada sekumpulan 1,600 orang di Sarawak yang menghadapi masalah mendapatkan sijil kelahiran dan kad pengenalan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Dalam Negeri pada Sabtu berkata, Jabatan Pendaftaran Negara dijangka menyediakan dokumen berkenaan untuk mereka bermula di Tamin dalam Divisyen Sibu, dalam waktu terdekat.



Beliau berkata demikian pada majlis pemimpin bersama rakyat di Rumah Panjang Rh.Mathew Manai Tan di Kampung Melikin Danau, Kerengas B di Balai Ringin, kira-kira 100 kilometer dari sini.

Ahmad Zahid berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada mesyuarat Kabinet telah mengarahkan penubuhan pasukan petugas khas untuk menyelesaikan permohonan yang berdepan masalah.

"Sebagai menteri yang bertanggungjawab, saya menggunakan kuasa yang diberikan kepada saya untuk menyegerakan kelulusan permohonan berkenaan, lagipun semua ibu bapa dan kanak-kanak terbabit merupakan anak kelahiran tempatan.

"Kanak-kanak, terutamanya pelajar, pastinya amat memerlukan dokumen itu untuk meneruskan pelajaran mereka," katanya.

Berhubung lawatan beliau ke kawasan itu, Ahmad Zahid berkata dalam Barisan Nasional (BN), setiap orang tanpa mengira kedudukan mreka tiada masalah untuk membantu antara satu sama lain di kawasan diwakili masing-masing.

Katanya susulan hubungan rapat Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dengan Najib, beliau akan membantu untuk membawa lebih banyak pembangunan terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar di negeri ini.

"Adalah amat penting bagi pemimpin persekutuan dan negeri mempunyai hubungan yang rapat, begitu juga antara MP (anggota Parlimen) dan Anggota Dewan Undangan Negeri.

"Ini akan membolehkan semua pihak dapat membantu dengan efektif penduduk di luar bandar yang masih memerlukan lebih banyak pembangunan," katanya.

Ahmad Zahid berkata beliau berharap untuk melakukan lawatan ke negeri ini terutamanya ke kawasan-kawasan luar bandar, sekurang-kurangnya sekali sebulan untuk tujuan itu.

"Saya akan datang melawat tetapi saya tidak hanya akan membuat janji kerana terdapat rakyat yang sentiasa menyokong kerajaan dan mereka berhak dibantu," katanya.

Mengenai Najib, Ahmad Zahid berkata perdana menteri telah menjadi mangsa fitnah dan serangan berniat jahat daripada pihak di dalam dan luar negara ini.

"Malah terdapat pihak dalam negara yang mahu 'buat lubang dalam kapal beliau agar ia tenggelam".

Beliau dengan itu menggesa rakyat membantu Najib dengan memberikan sokongan padu terhadap perdana menteri untuk membuktikan bahawa pengkritik beliau silap kerana perdana menteri telah berusaha sebaik mungkin untuk menjaga kepentingan rakyat.

"Bagi Sarawak yang akan menghadapi pilihan raya negeri tidak lama lagi, saya berharap rakyat tidak akan ragu-ragu untuk memberikan majoriti besar kepada BN," katanya dan menurutnya ini penting sebagai tanda sokongan mereka terhadap kepimpinan Najib.

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi