Bengkel deradikalisasi 2016 mahu ubah sikap mereka terbabit keganasan


Bengkel antarabangsa mengenai deradikalisasi di Kuala Lumpur pada Januari depan bermatlamat melahirkan satu program deradikalisasi yang dapat mengubah sikap dan pemikiran serta meneutralkan mereka yang terlibat dalam kegiatan radikal atau keganasan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata untuk itu, bengkel berkenaan akan memberi perhatian kepada mereka yang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas)(Pindaan) 2015 (SOSMA), Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) dan Kanun Acara Jenayah (CPC) di Malaysia.



"Malaysia dan Indonesia telah mengkaji secara mendalam (mengenai keganasan) dan mendapati 80 peratus daripada pengganas terlibat bukan kerana pengaruh akidah tetapi faktor eskapisme yang mempengaruhi mereka melibatkan diri dalam kegiatan keganasan terutama di Syria dan Iraq atau dengan menyertai kumpulan keganasan antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat Malaysia di Jakarta di Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia di sini, hari ini.

Turut hadir isteri beliau Datin Seri Hamidah Khamis, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Ibrahim Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Wan Ali Besar dan Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata Malaysia selaku tuan rumah  bengkel itu, telah menjemput Indonesia untuk menyertainya selain menjadi negara rujukan bagi menghasilkan 'acuan tetap' program deradikalisasi.

"Malaysia dan Indonesia juga telah mencapai persetujuan untuk bekerjasama dalam menangani deradikalisasi," katanya.

Malaysia turut menjemput Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Filipina, Thailand, Arab Saudi dan beberapa negara lain yang menjadi 'negara sumber kepada penghantaran pengganas antarabangsa ke luar negara, katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata penghasilan program deradikalisasi itu amat penting bagi membolehkannya digunakan sebagai satu standard di peringkat antarabangsa.

"Pengalaman Malaysia agak lama dalam bidang deradikalisasi. Kita pernah isytihar darurat pada 1948 hingga 1960. Kita kumpulkan pengalaman ini (untuk dikongsi)...(bagaimana) kita dapat mengubah pemikiran pengganas komunis, militan Islam dan kini kumpulan radikal," katanya.

Malaysia menyediakan 18 tajuk untuk dibentangkan pada bengkel itu ke arah menghasilkan program deradikalisasi itu.
Selain itu, bengkel berkenaan juga akan menyediakan satu Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi menangani kegiatan keganasan secara berkesan dengan membabitkan pentadbir utama dalam menangani masalah keganasan termasuk menteri yang bertanggungjawab terhadap soal keselamatan dalam negeri atau pertahanan, katanya.

Ahmad Zahid kini dalam rangka lawatan kerja empat hari di Indonesia sejak Jumaat.

Ini adalah lawatan pertama beliau ke luar negara sejak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 28 Julai lepas.

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi