Sekat semua video kekejaman IS – Zahid – Utusan Online


KUALA LUMPUR 4 April – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mencadangkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat sepenuhnya rakaman video kekejaman kumpulan militan Negara Islam (IS) yang tersebar di media sosial kerana boleh mengancam psikologi masyarakat di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua pihak perlu sedar bahawa usaha memerangi IS tidak hanya tertumpu di medan tempur tetapi menerusi media sosial kerana yang diperangi bukan lagi musuh konvensional seperti satu ketika dahulu.
Beliau berkata, hal demikian juga kerana modus operandi IS dalam merekrut, berkomunikasi, merancang operasi dan sera­ngan telah berubah selaras dengan perkembangan dunia siber apabila kumpulan pengganas itu sangat mesra teknologi maklumat.
“Jika dahulu kumpulan pengganas mengambil masa setahun untuk merekrut anggota-anggota baharu, namun pada hari ini IS mengambil masa beberapa jam atau hari untuk merekrut pengguna maya, malah tidak pernah mana-mana kumpulan pengganas membuat video kekejaman untuk disebarkan di media sosial.
“Lebih membimbangkan apabila pada hari ini juga ada kanak-kanak berumur 10 tahun sanggup membakar rakan mereka di dalam sangkar di Yemen kesan daripada pengaruh yang dilakukan kekejaman IS menerusi video sehingga meresap ke dalam minda kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Majlis Himpunan Belia Menangani Gejala Ekstremisme, di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin; Ketua Setiausaha KDN, Datuk Alwi Ibrahim; Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun dan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Muammar Ghadafi Jamaludin.
Sementara itu Ahmad Zahid berkata, kerajaan memberi jaminan Rang Undang-undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 yang akan dibentangkan kali kedua Isnin ini di Dewan Rakyat tidak akan me­lakukan kezaliman terhadap mana-mana individu.
Beliau berkata, kerajaan akan memberikan keadilan sepenuhnya kepada mana-mana individu walaupun ada peguam-peguam hak asasi manusia yang berterusan menganggap POTA merupakan pengganti kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mempunyai elemen tahanan tanpa bicara.
Dalam sidang akhbar selepas itu, Ahmad Zahid berkata, seramai 75 orang rakyat Malaysia yang telah ditangkap kerana menyertai IS me­lahirkan rasa kesal dengan tindakan mereka.
“Sebahagian besar mereka yang ditangkap dan kembali ke tanah air mengatakan bahawa keadaan di sana adalah indah khabar dari rupa kerana sebelum ini mereka digambarkan tempat perjuangan itu seolah-olah menjanjikan sesuatu yang indah,” jelasnya.
Sementara itu, Khairy berkata, Kementerian Belia dan Sukan memandang serius penularan gejala ekstremisme dan menggariskan li­ma faktor utama yang menyebabkan generasi muda terpengaruh dengannya termasuklah kumpulan militan Negara Islam (IS).
Menurutnya, faktor utama menyebabkan generasi muda terlibat adalah mereka kurang diberi platform untuk melontarkan pendapat atau idea terutama dalam pembentukan dasar negara.
Beliau berkata, apabila golongan tersebut berasa disisihkan, kehadiran media sosial dalam memberikan maklumat pantas dan terbuka mendorong mereka menyimpulkan pendapat melalui internet.
“Kekurangan platform sebegini menyebabkan anak muda resah dan berasa tidak berguna kerana apa yang disuarakan tidak dilaksanakan. Akhirnya, jalan mudah tetapi drastik yang diambil bagi mencernakan apa yang diinginkan adalah mengikuti kumpulan ekstremis.
“Faktor kedua ialah kegagalan mendapat pekerjaan dan gaji rendah untuk menanggung perbelanjaan bulanan dan ketiga keinginan mereka untuk mengubah dunia.
Manakala faktor keempat yang dilihat mempengaruhi golongan ini ialah berasa sunyi.

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada