Kuasa POTA jauh berbeza daripada ISA

Oleh Dr Shamrahayu A Aziz
Ancaman keselamatan negara serata dunia berterusan seperti tidak akan ada penghujung. Konfrontasi nuklear antara kuasa-kuasa besar tidak sepi daripada mengisi ruang berita sehingga hari ini. Seluruh dunia sedang menghadapi ancaman yang berbeza dan lebih kompleks. Keganasan fizikal, serangan siber, serangan bahan kimia, senjata nuklear, senjata biologi dan juga kemalangan skala besar atau bencana alam sudah tidak asing dalam berita yang kita baca setiap hari. Ancaman keselamatan ini muncul dari dalam dan juga boleh menular ke dalam negara dari luar negara. Negara kita juga tidak terkecuali.
Bagi negara kita berita mutakhir berkaitan ancaman keselamatan ialah aktiviti kumpulan Negara Islam (IS). Ia sudah mendatangkan kebimbangan serius kepada pasukan keselamatan. Seiring itu, Parlimen juga sedang membahaskan Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan susulan daripada pembentangan kertas putih oleh Perdana Menteri pada sesi Parlimen lalu.
Tentunya di sini amat pelik apabila diketahui bahawa masih ada segelintir yang tidak mengambil kisah, bahkan mempersoalkan tindakan memantapkan undang-undang berkaitan keselamatan negara, sedangkan pada peringkat antarabangsa banyak negara sudah memperkasa undang-undang antikeganasan. Yang mereka bimbangkan ialah perlanggaran hak asasi kononnya.
Beza POTA, ISA
Undang-undang menentang keganasan yang diperkenalkan di Parlimen ini bukan berhajat menceroboh hak asasi rakyat tetapi bertujuan menjaga keselamatan mereka dan juga negara. Menurut rang undang-undang itu, tahanan pencegahan boleh dibuat ke atas mereka yang terbabit atau menyokong perbuatan keganasan di negara asing. Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan ini juga berhasrat menyekat rakyat negara ini daripada terbabit secara langsung dalam apa bentuk keganasan.
Justeru, rang undang-undang ini memperkenalkan tahanan pencegahan. Perlembagaan tidak menghalang tahanan pencegahan. Tahanan pencegahan boleh dilakukan bagi menangani kegiatan subversif atau keganasan dengan syarat peruntukan Perlembagaan berkenaan Lembaga Penasihat di bawah Perkara 151 Perlembagaan dilaksana dengan baik.
Ada desas-desus yang menyatakan bahawa rang undang-undang menggunakan acuan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang sudah dimansuhkan. Namun, apabila diteliti peruntukan rang undang-undang terbabit, ia sebenarnya jauh berbeza daripada ISA. Rang undang-undang ini membenarkan keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pencegahan Keganasan dikaji semula oleh Mahkamah Tinggi (lihat seksyen 13(10) RUU).
Sementara itu, berbeza dengan ISA, rang undang-undang tidak memberikan kepada menteri kuasa untuk mengeluarkan waran tahanan. Kuasa ini diserahkan kepada sebuah lembaga yang dinamakan Lembaga Pencegahan Keganasan (lihat seksyen 8 RUU). Dua inti pati rang undang-undang ini menjelaskan bahawa ia adalah berbeza daripada ISA.
Rang undang-undang ini bukan bermaksud menceroboh hak asasi manusia tetapi ia memandang tinggi mengenai keselamatan negara. Ia memberi pertimbangan wajar dan objektif kepada hak asasi manusia dengan tujuan menjaga keselamatan negara.
Peranan sektor pendidikan
Dalam memberi faham kepada khalayak berkaitan keselamatan negara pendidikan juga memainkan peranan penting. Kita perlukan institusi khusus, universiti atau institusi kajian perlu fokus mengadakan penyelidikan. Ini bertujuan mempromosi ilmu pengetahuan berkaitan keselamatan negara dengan mengadakan kajian, memberi faham dan mendidik masyarakat berkaitan keselamatan dan ancaman keselamatan kepada negara.
Mengenai undang-undang, universiti tempatan boleh mengambil inisiatif untuk mengkaji dengan serius mengenai undang-undang keselamatan. Dengan kajian mendalam universiti dapat membantu pasukan keselamatan dan juga pejabat Peguam Negara dalam hal-hal berkaitan undang-undang keselamatan.
Kelemahan pendidikan undang-undang berkaitan keselamatan negara agak ketara setakat ini. Masih belum ada kursus khusus di universiti berkaitan undang-undang keselamatan. Fakulti undang-undang sebagai contoh, belum memperkenal subjek khusus mengenai undang-undang keselamatan; sama ada sebagai subjek elektif atau satu program khusus pada peringkat sarjana.
Umumnya, subjek berkaitan undang-undang keselamatan dibincangkan secara sepintas lalu dalam subjek undang-undang antarabangsa. Dengan perkembangan semasa mengenai undang-undang keselamatan, adalah sesuai untuk kita berbincang secara ilmiah dan membuat penerbitan berkaitan undang-undang keselamatan serta strategi keselamatan negara.
Sementara itu, 'Operational Law' berkaitan keselamatan juga perlu difahami dengan lebih baik oleh khalayak untuk membolehkan mereka sedar mengenai pentingnya keselamatan negara dan bukan lagi meletakkan tanggungjawab menjaga keselamatan hanya ke atas pihak keselamatan seperti polis dan tentera. Ini juga boleh membendung khalayak daripada terpengaruh dengan hujah hak asasi semata-mata.
Penulis ialah Felo Utama Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada