Kontraktor Diminta Tampil Buat Laporan Jika Diperas Ugut : Zahid

IPOH: Pihak kontraktor yang diperas ugut oleh kongsi-kongsi gelap bagi membayar wang perlindungan diminta supaya tampil membuat laporan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia bertujuan supaya tindakan tegas dapat dikenakan terhadap mereka.


Beliau berkata, tindakan berkenaan yang telah menjadi ikutan di seluruh negara adalah tidak dibenarkan sama sekali berlaku di negara ini.
“Biarpun tiada statikstik sebenar terhadap jumlah sebenar mengenai wang tebusan ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengetahuinya dan mendapat aduan daripada para kontraktor,” katanya.
PERAKTODAY
Beliau berkata demikian sejurus selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-38 Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia negeri Perak di Ipoh hari ini.
Turut hadir sama, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Datuk  Mokhtar Samad dan Yang Dipertua PKMM Negeri Perak, Datuk Wira Jamaluddin Abdul Rahim.
Tambahnya lagi, tindakan tersebut seolah-oleh membunuh para kontraktor berkenaan.
Katanya, hal ini kerana ia akan mengakibatkan sesuatu projek tergendala sekiranya kontraktor tidak membayar atau membayar pada kadar yang sedikit daripada jumlah yang dikehendaki.
“Jika wang perlindungan ini dikenakan kepada pihak kontraktor tentunya ianya akan mengurangkan keuntungan dan menyebabkan kos keseluruhan akan meningkat.
“Terutamanya bagi projek besar, kerana senario itu akan mengakibatkan terbengkalai dan kelambatan disebabkan oleh ugutan dan wang tebusan yang diminta,” ujar beliau lagi.
Selain itu, katanya lagi, pelbagai tindakan turut diambil oleh pihak kongsi gelap seperti mengugut dan ada juga yang bertindak mencuri barangan peralatan pembinaan.
Tegas beliau, pihaknya memberi jaminan kepada kontraktor yang menjadi mangsa ugutan berkenaan untuk menyelesaikan perkara tersebut.
Setakat ini, Zahid berkata, masalah  tersebut masih tidak mencapai tahap yang serius dan hanya sebilangan kontraktor sahaja yang telah tampil membuat laporan berhubung ugutan yang diterima mereka.
“Ada beberapa (pemeras ugut) yang telah ditangkap serta kita telah mengenal pasti individu yang terlibat dan ianya perlu diselesaikan,” katanya.
Sementara itu, beliau turut mencadangkan supaya pihak yang berkenaan seperti PKMM untuk menubuhkan institusi latihan.
“Institusi latihan ini khusus dalam sektor pembinaan bagi melatih pekerja mahir bagi bidang berkenaan sekaligus dapat mengurangkan penggunaan tenaga asing.
“PKMM khususnya di Perak diharap boleh menubuhkan institusi sebegini sebagai pendekatan memenuhi permintaan di pasaran serta kemahiran dalam sektor pembinaan
“Saya harap badan kontraktor Melayu seperti PKMM  boleh mewujudkannya bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga asing,” kata beliau lagi.
Zahid berkata, KDN dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia, Kemeterian Belia dan Sukan (KBS) serta kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR) diharap mendokong cadangan rancangan jangka panjang itu.
- Perak Today

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada