TPM Ahmad Zahid Tiba Di Ulaanbaatar Untuk Menghadiri Sidang Kemuncak ASEM Ke-11
ULAANBAATAR (Mongolia) - Timbalan Perdana Menteri
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di sini semalam untuk menghadiri
Sidang Kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) ke-11.
Pesawat yang membawa Ahmad Zahid dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis
tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Chinggis Khan di sini pada 4.24
petang (3.24 petang waktu Malaysia).
Ketibaan beliau dan delegasi disambut Duta Besar Malaysia ke China Datuk
Zainuddin Yahya, yang juga ditauliahkan serentak ke Mongolia, dan para
pegawai daripada negara tuan rumah dan Malaysia.
Bertemakan "20 Tahun ASEM: Perkongsian Untuk Masa Depan Melalui
Kesalinghubungan", sidang kemuncak yang bermula Jumaat menandakan ulang
tahun ASEM yang ke-20 sejak ia ditubuhkan pada 1996.
Para pemimpin dijangka membincangkan dan mengkaji semula kemajuan dan
pencapaian perkongsian selama dua dekad selain merangka hala tuju bagi
proses dialog antara wilayah bagi dekad akan datang.
Perkembangan politik di Asia dan Eropah, memerangi keganasan dan migrasi
adalah antara isu semasa yang akan dibincangkan selain memperkukuhkan
perkongsian ASEM melalui kesalinghubungan yang lebih hebat.
Para pegawai kanan telah mengadakan mesyuarat dua hari mereka pada
Selasa dan Rabu bagi Deklarasi Ulaanbaatar, yang bermatlamat untuk
merangka hala tuju masa depan ASEM yang akan memasuki dekad ketiga.
Ahmad Zahid dijadual mengambil bahagian dan mengutarakan pandangan pada
Sidang Pleno Pertama dalam sidang kemuncak itu yang akan menyaksikan
perbincangan berdasarkan topik "Dua Dekad Perkongsian: Membuat Penilaian
dan Melihat Ke hadapan".
Beliau juga dijangka mengadakan pertemuan dua hala dengan para pemimpin
di luar sidang kemuncak itu bagi membincangkan isu dua hala, wilayah dan
antarabangsa demi kepentingan bersama.
ASEM merupakan platform bagi mengadakan dialog dan kerjasama berasaskan
kepada perkongsian yang sama di antara negara Asia dan Eropah.
Ia mempunyai 53 rakan kongsi terdiri daripada 21 negara Asia, 28 negara
anggota Kesatuan Eropah, dua lagi negara Eropah, Kesatuan Eropah dan
Sekretariat ASEAN.
-BERNAMA-