Sistem Saringan Awal Penumpang Diguna Tapis Warga Asing Masuk Ke Malaysia
ULAANBAATAR, Mongolia - Walaupun Kabinet telah
menolak cadangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengeluarkan visa
kepada rakyat Timur Tengah yang memasuki Malaysia, tapisan terhadap
warga asing akan dilakukan melalui 'Sistem Saringan Awal Penumpang'
(APSS) bagi mengekang kemasukan kumpulan militan, kata Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata APSS akan membolehkan maklumat lengkap
mengenai warga asing termasuk pelancong diperoleh di tempat mereka
berlepas dan pintu masuk secara "masa nyata".
Katanya sistem APSS yang menghubungkan data daripada pelbagai pihak
seperti Interpol dengan jabatan penerbangan awam dan syarikat-syarikat
penerbangan, juga membolehkan pihak berkuasa mengesan pasport dan
dokumen perjalanan palsu.
"Kita sedang dalam peringkat formaliti pelaksanaan. Tiga perempat
daripada negara di dunia telah melaksanakan sistem ini, dan kita akan
bawa ke Majlis Ekonomi Negara dan Kabinet untuk diputuskan tarikh
pelaksanaan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia selepas tiba di sini
hari ini untuk menghadiri Sidang Kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM)
kali ke-11.
Pada Rabu, Kabinet menolak cadangan MKN untuk mengeluarkan visa kepada rakyat Timur Tengah yang memasuki Malaysia.
Ahmad Zahid berkata keputusan itu dibuat kerana adalah tidak adil untuk
mengeluarkan visa kepada pelancong dari Timur Tengah yang merupakan
antara pelancong terbesar ke Malaysia dan menyumbang RM2.6 bilion kepada
pertukaran mata wang asing.
Katanya, Jabatan Imigresen mempunyai sumbernya sendiri untuk mengekang
kemasukan kumpulan militan Daesh ke Malaysia, sambil menambah kumpulan
militan bukan hanya datang dari rantau berkenaan tetapi juga beberapa
negara jiran.
Beliau juga berkata 138 militan yang ditahan di penjara dan depoh
tahanan hasil kerjasama polis dengan Interpol dan agensi perisikan lain
akan dipindahkan ke Pusat Tahanan Kemunting.
"Mereka akan diasingkan daripada banduan lain dan ditahan di blok khas
di Kamunting. Ini untuk mengelak mereka (daripada) mempengaruhi tahanan
lain," tambahnya.
Mengenai laporan bahawa Ketua Penolong Pengarah Anti Pengganas,
Cawangan Khas (E8), Datuk Ayob Khan menerima ugutan bunuh daripada
anggota kumpulan militan Daesh, Ahmad Zahid berkata kerajaan tahu
terdapat senarai mereka yang dikehendaki kumpulan itu.
"Kita tak ambil mudah. Kita ada pendekatan atasi ancaman ini dan kita
beri penekanan kepada aspek keselamatan individu terbabit dan Cawangan
Khas Bukit Aman akan teruskan pemantauan," katanya.
-BERNAMA-