Zahid Pengerusikan Perbahasan Terbuka UNSC Mengenai Pengawalan Senjata Pemusnah Besar-Besaran
NEW YORK - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa (23 Ogos) mempengerusikan Perbahasan
Terbuka Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) mengenai
Pengeluaran Senjata Pemusnah Besar-besaran (WMD) di ibu pejabat
Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di sini.
Mesyuarat itu bermula pada kira-kira 10 pagi waktu New York (10 malam di Malaysia), dengan Zahid menyampaikan ucapan pembukaan.
Kemajuan teknologi, yang memberi akses mudah kepada maklumat mengenai
WMD kepada pelaku bukan negara, membimbangkan badan pengawal selia
terbesar dunia, PBB, tentang kemungkinan maklumat itu akan jatuh ke
tangan kumpulan militan ekstremis seperti Daesh dan Boko Haram, yang
seterusnya boleh menimbulkan akibat buruk dan kacau-bilau dalam
masyarakat dunia.
"Ia melibatkan beberapa isu berkaitan WMD yang sedang berlaku dan
dipantau PBB bagi mengelak timbulnya akibat buruk terhadap masyarakat
dunia dan membawa kepada keadaan huru-hara di dunia jika tidak ditangani
dengan lebih awal oleh PBB," kata Ahmad Zahid pada sidang akhbar untuk
wartawan Malaysia di sini semalam.
Perbahasan Terbuka ini diadakan atas inisiatif Malaysia selaku Presiden
Majlis Keselamatan, sejajar dengan prinsip yang menjadi pegangannya
sejak sekian lama mengenai pengawalan percambahan WMD.
Sebanyak 63 orang dan pemimpin mewakili 50 negara dijangka mengambil bahagian dalam perbahasan itu.
Diadakan di ibu pejabat PBB di New York City, Perbahasan Terbuka Majlis
Keselamatan mengenai Pengawalan Percambahan Senjata Pemusnah
Besar-besaran ini bertujuan menggalakkan penganjuran dialog selanjutnya
dan kerjasama mengenai pengawalan pengeluaran WMD, terutama berikutan
kemunculan risiko percambahan senjata jenis itu dalam kalangan pelaku
bukan negara.
Ahmad Zahid berkata hakikat bahawa mesyuarat itu dipengerusikan pemimpin
peringkat tinggi menunjukkan komitmen Malaysia terhadap PBB dan
multilateralisme.
Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon juga menyertai mesyuarat itu.
Ahmad Zahid dalam rangka lawatan kerja lima hari ke Amerika Syarikat,
bermula Isnin (22 Ogos), bersempena giliran Malaysia menjadi presiden
UNSC bagi Ogos.
Dalam acara sampingan, beliau juga mengadakan perbincangan dua hala
dengan pemimpin beberapa negara mengenai isu kepentingan bersama dan
serantau membabitkan kepentingan bersama.
Sebagai anggota Majlis Keselamatan, Malaysia memainkan peranan penting
dalam pemilihan setiausaha agung PBB akan datang, yang akan diputuskan
pada hujung tahun ini memandangkan penggal setiausaha agung sekarang,
Ban Ki-moon, akan berakhir pada 2016.
Malaysia percaya tentang peri pentingnya proses pemilihan itu bersifat
telus dan inklusif serta akan terus berusaha untuk mendampingi anggota
Majlis, anggota PBB lain dan pemegang taruh yang berkenaan bagi
memastikan sesiapa sahaja yang dipilih untuk menerajui PBB merupakan
tokoh paling sesuai dan berkelayakan untuk memikul tugas mencabar itu,
kata Ahmad Zahid semalam.
Beliau juga berkata pemilihan Malaysia sebagai Presiden Majlis
Keselamatan PBB bagi Ogos merupakan suatu sejarah dan penghormatan bagi
negara itu.
Katanya, PBB memantau penggunaan WMD yang didakwa berlaku dalam konflik Syria.
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Wakil Tetap Malaysia di PBB
Datuk Ramlan Ibrahim adalah antara mereka yang menghadiri mesyuarat itu.
Ahmad Zahid dijadual mengakhiri lawatan beliau ke sini pada 26 Ogos.
-BERNAMA