Zahid Beri Sumbangan Peribadi Kepada Masjid Haroon Di Bangkok
BANGKOK - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang
sedang dalam lawatan kerja dua hari ke Thailand, menunaikan solat Jumaat
di Masjid Haroon di sini hari ini bersama umat Islam tempatan.
Selain menunaikan solat Jumaat, timbalan perdana menteri turut memberi
sumbangan peribadi kepada masjid yang terletak Jalan Charoen Krung di
tengah-tengah ibu negara Thailand itu.
"Sumbangan peribadi itu untuk membina ruang solat wanita di masjid
berkenaan," katanya kepada pemberita sebelum berlepas pulang ke Malaysia
selepas menamatkan lawatan kerja dua harinya ke Thailand.
Sumbangan peribadi Ahmad Zahid itu diserahkan kepada Imam Besar masjid berkenaan, Abdul Ahad selepas solat Jumaat itu.
Turut sama menunaikan solat Jumaat di Masjid Haroon bersama timbalan
perdana menteri adalah pegawai-pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri,
Kementerian Luar Negeri serta media Malaysia yang membuat liputan
lawatan kerja beliau.
Selepas menunaikan solat Jumaat, timbalan perdana menteri mengadakan
pertemuan dengan rakan sejawatannya Jen Prawit Wongsuwan yang juga
Menteri Pertahanan.
Sebelum itu pada sebelah pagi, beliau bertemu dengan seorang lagi Timbalan Perdana Menteri Thailand Wissanu Krea-ngam.
-BERNAMA