Pasukan Petugas Bersama Malaysia-UNHCR Ditubuh Tangani Isu Migrasi
PUTRAJAYA - Satu Pasukan Petugas Bersama Malaysia
dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR)
akan ditubuhkan bagi membolehkan kerjasama berterusan dijalinkan untuk
menangani isu migrasi yang kompleks.
Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat bagi membincangkan isu-isu UNHCR
yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi di di sini hari ini.
Menurut kenyataan Pejabat Timbalan Perdana Menteri sempena mesyuarat
itu, Pasukan Petugas Bersama itu akan dianggotai pegawai-pegawai kanan
Kementerian Dalam Negeri, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Luar
Negeri dan UNHCR.
Menerusi pasukan petugas itu, kerajaan Malaysia akan bekerjasama dengan
UNHCR dalam aspek pendaftaran dan pengeluaran kad UNHCR bercirikan
keselamatan tinggi, yang mula dikeluarkan mulai 1 Jun lepas.
"Namun, proses penentuan status pelarian masih menjadi tanggungjawab
penuh UNHCR berdasarkan Konvesyen PBB Mengenai Pelarian 1951 dan
Protokol 1967," kata kenyataan itu.
Berkuat kuasa 20 Julai lepas, Kabinet memutuskan untuk tidak lagi
membenarkan UNHCR mengeluarkan kad UNHCR kepada individu yang membuat
permohonan secara 'walk-in'.
Memandangkan pengeluaran kad berkenaan akan melalui langkah-langkah
tapisan yang ketat, proses penggantian kad-kad UNHCR lama akan mengambil
sedikit masa.
"Tindakan ini bertujuan menangani masalah pengeluaran kad UNHCR palsu," kata kenyataan itu.
Malaysia dan UNHCR menjalin kerjasama selama 41 tahun sejak penubuhan
pejabat UNHCR di negara ini pada 1975, susulan kebanjiran pemohon suaka
dari Vietnam.
Menurut kenyataan itu, peranan utama UNHCR di Malaysia adalah bagi
memproses permohonan status pelarian yang dikemukakan oleh
pemohon-pemohon suaka selain bertanggungjawab menyelaraskan penempatan
semula pelarian di negara-negara ketiga.
Berikutan UNHCR menghadapi masalah mempercepat proses penempatan semula
pelarian di negara-negara ketiga, pelarian yang berada di negara ini
dibekalkan dengan kad UNHCR.
-BERNAMA