MH17: Malaysia Komited Capai Keadilan, Pertimbang Proses Pendakwaan - Ahmad Zahid
NEW YORK - Malaysia akan mempertimbangkan opsyen
pendakwaan ke atas pihak yang bertanggungjawab menjatuhkan pesawat MH17
selepas penyiasatan yang kini masih dijalankan oleh Pasukan Penyiasat
Bersama (JIT) iaitu Belanda, Malaysia, Australia, Belgium dan Ukraine
selesai.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata
Malaysia akan terus komited untuk mencapai keadilan bagi mangsa-mangsa
pesawat MH17 yang terhempas di timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia
ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai
2014 yang mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal.
Beliau berkata demikian pada sidang media kepada wartawan Malaysia
selepas mempengerusikan Perbahasan Terbuka Majlis Keselamatan Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengenai Pengeluaran Senjata Pemusnah
Besar-besaran (WMD) di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
(PBB) di sini Selasa.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata buat masa ini
penyiasatan masih dijalankan untuk menentukan pihak yang
bertanggungjawab dalam menjatuhkan MH17 dan apabila penyiasatan itu
selesai kelak, Malaysia akan mempertimbangkan opsyen yang terbaik untuk
langkah seterusnya, iaitu proses pendakwaan.
"Kita perlu mengambil kira setiap aspek di dalam membuat keputusan ini
bagi memastikan agar pihak yang bertanggungjawab tidak akan terlepas
dari muka pengadilan," kata beliau.
Mengenai pendirian Malaysia sebagai anggota Majlis Keselamatan tentang
perang di Syria yang telah berlarutan selama lebih lima tahun, Ahmad
Zahid berkata Malaysia amat bimbang dengan peningkatan kegiatan
ketenteraan oleh pihak-pihak yang terlibat dalam konflik di Syria dan
krisis kemanusiaan yang berlaku ekoran peperangan yang berterusan.
Justeru, Malaysia menyeru semua pihak dalam konflik di Syria untuk
menghentikan serangan ketenteraan dan membenarkan bantuan kemanusiaan,
katanya.
"Kami mengutuk serangan rambang dan sasaran ke atas orang dan
infrastruktur awam, termasuk serangan terhadap anggota dan fasiliti
perubatan oleh kedua-kedua pihak kerajaan dan pembangkang," katanya.
Katanya laporan penggunaan senjata kimia serta 'barrel bomb' beberapa
minggu kebelakangan ini adalah amat membimbangkan dan perlu dikutuk
sekeras-kerasnya oleh masyarakat antarabangsa.
Malaysia juga kesal dengan penggunaan taktik pengepungan oleh kedua-dua
pihak kerajaan dan pembangkang yang telah menyebabkan penderitaan dalam
kalangan orang awam yang tidak berdosa, katanya.
"Kami menyeru semua pihak agar membenarkan anggota
organisasi-organisasi kemanusiaan untuk menyampaikan bantuan perubatan
ke beberapa bandar yang dikepung di Syria," kata beliau.
Ahmad Zahid berkata Malaysia menyokong penuh usaha berterusan oleh Duta
Khas PBB Staffan de Mistura dan inisiatif untuk bertemu dengan pihak
berkepentingan yang berkenaan di Geneva pada akhir bulan Ogos dan
meneruskan dialog politik antara pihak-pihak yang bertentangan.
"Kami percaya konflik yang telah berlarutan selama lima tahun itu hanya
boleh diselesaikan melalui penyelesaian politik," katanya.
Semasa Kepengerusian Majlis Keselamatan PBB oleh Malaysia, ia akan
membincangkan isu Syria termasuk perihal mengenai penyambungan semula
rundingan damai di Geneva dan Laporan Mekanisme Penyiasatan Bersama
(JIM) untuk menyiasat penggunaan senjata kimia di Syria.
Ahmad Zahid berkata Malaysia turut memandang berat isu eksploitasi dan
pencabulan seksual wanita dan kanak-kanak oleh pasukan pengaman PBB dan
pasukan tentera antarabangsa yang ditempatkan di zon-zon konflik.
-BERNAMA