TPM Zahid Percaya Kumpulan Sama Terbabit Penculikan Terbaharu Di Sabah
NEW DELHI - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi percaya kumpulan penculikan bagi mendapatkan wang
tebusan yang berpangkalan di selatan Filipina mendalangi insiden
penculikan terbaharu di perairan Sabah.
"Setakat ini, tiada tuntutan wang tebusan diterima daripada mana-mana
pihak tetapi saya percaya penculikan terbaharu itu didalangi kumpulan
sama yang terlibat dalam siri penculikan rakyat Malaysia dan pelancong
asing sejak beberapa tahun lepas," katanya di sini Selasa.
Ahmad Zahid, yang tiba di New Delhi pada Ahad untuk lawatan kerja tiga
hari ke India, berkata demikian kepada wartawan Malaysia selepas
menerima kunjungan hormat Setiausaha Agung Parti Bharatiya Janata, Ram
Madhav, dan Menteri Perusahaan Negeri Telengana, K.T Rama Rao.
Laporan menyatakan bahawa sebuah bot tunda kosong dengan enjinnya masih
hidup ditemukan terdampar di perairan Dent Haven, Tambisan, Lahad Datu
pada Isnin. Pihak berkuasa sedang menyiasat nasib lima anak kapal itu,
yang kesemuanya rakyat Malaysia.
Mereka dikenali sebagai Abd Rahim Summas, 62, juragan bot dari Kampung
Tanjung Batu, Tawau; Tayudin Anjut, 45, dari Kampung Tanjung Batu Darat,
Tawau; Mohd Ridzuan Ismail, 32, dari Felda Jengka 7, Bandar Jengka,
Pahang; Fandy Bakran, 26, dari Kampung Pukat Tawau dan Mohamad Jumadil
Rahim, 23, dari Batu 2, Jalan Apas, Tawau.
Ditanya mengenai ancaman bunuh yang diterima oleh Ketua Polis Negara Tan
Sri Khalid Abu Bakar baru-baru ini, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam
Negeri berkata ia sama sekali tidak akan menjejaskan usaha pihak polis
memerangi keganasan.
"Polis akan melakukan apa sahaja untuk memastikan keselamatan rakyat, tidak kira apa jua ancaman yang mereka terima," katanya.
Khalid dilaporkan terus menerima ancaman berikutan tindakan keras polis terhadap militan Daesh di negara ini.
-BERNAMA-