India Mahu Malaysia Ketuai Dunia Perangi Keganasan - Ahmad Zahid
NEW DELHI - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri
Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata India mahu Malaysia berada di barisan
hadapan dalam menangani ancaman keganasan dan radikal kumpulan militan
Daesh di peringkat global.
Beliau berkata ini dinyatakan dalam pertemuan tertutup antara beliau
dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi di residensi rasmi Modi di
sini pada Selasa.
"India mengiktiraf kejayaan Malaysia menerusi konsep kesederhanaan yang
diinisiatifkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam
memerangi keganasan seperti yang diamalkan di Malaysia.
"Malah India mahu Malaysia mengemukan polisi dan kaedah ini bukan sahaja
di wilayah Asean tetapi juga semasa Sidang Kemuncak Asean dengan rakan
dialog Asean dan di peringkat antarabangsa," katanya.
Bercakap kepada media Malaysia selepas pertemuan 45 minit dengan Modi,
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata India turut memuji
langkah proaktif dan serius yang diambil Malaysia dalam menangani
ancaman keganasan.
Ahmad Zahid berkata India juga mahu mempelajari undang-undang
antikeganasan yang diamalkan di Malaysia termasuk bagaimana menghukum
pengganas atau militan dengan menggunakan mekanisme yang betul dan
sesuai.
Oleh itu, beliau berkata pegawai agensi penguat kuasa India yang
terlibat dalam mengekang keganasan dan radikal akan dihantar ke Malaysia
bagi latihan selama tiga bulan.
"Dalam hubungan ini, India telah menerima jemputan kita. Persoalan bila
ini akan bermula, terpulang kepada mereka kerana polis kita dan Jabatan
Penjara bersedia untuk membantu dan menerima mereka," kata beliau.
Sementara itu beliau berkata Modi turut menyentuh mengenai keperluan
untuk menerima amalan sistem pendidikan sekolah agama dan madrasah di
Malaysia kerana India mempunyai kira-kira 200 juta orang Islam ketika
ini.
"Saya diberitahu India menghadapi masalah dalam isu pendidikan dan mahu
belajar daripada Malaysia mengenai pengurusan pendidikan dan ajaran
Islam tanpa berkompromi dan mengabaikan aspek akademik," katanya.
Dalam hubungan ini, India telah mencadangkan agar cendiakawan dan
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mereka diberi peluang menyertai
persidangan ulamak dan umarak sama ada sebagai peserta atau penceramah,
kata Ahmad Zahid.
Ditanya mengenai hasil lawatannya ke India, beliau berkata ia merupakan
pengalaman amat baik bagi Malaysia dalam mencipta rangkaian hubungan
diplomatik baharu demi faedah kedua-dua negara dalam jangka panjang.
"Apa yang penting bagaimana kebersamaan melepasi skop diplomatik boleh
diperkukuh dan dipermudah untuk menangani dan menyelesai sebarang isu
secara bersama (dengan India) sekiranya ia mungkin wujud di masa depan,"
katanya.
Timbalan perdana menteri yang tiba di sini pada Isnin akan berlepas pula
ke Sri Lanka pada Rabu malam untuk lawatan kerja dua hari.
-BERNAMA