Ahmad Zahid Lawat Sri Lanka Dua Hari Mulai Khamis, Erat Hubungan Dua Hala
COLOMBO (SRI LANKA) - Timbalan Perdana Menteri
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang akan memulakan lawatan kerja dua
hari ke Sri Lanka mulai Khamis, mempunyai jadual ketat termasuk
melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Sr Lanka Maithripala
Sirisena.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Sri Lanka Wan Zaidi Wan Abdullah berkata
lawatan Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri bertujuan
mengukuhkan hubungan dua hala dalam pelbagai bidang antara Kuala Lumpur
dan Colombo.
Ahmad Zahid dengan diiringi isteri Datin Seri Hamidah Khamis dijadual
tiba di sini pada 12.30 pagi esok (kira-kira 3 pagi waktu Malaysia,
katanya kepada media Malaysia di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Sri
Lanka, di sini Rabu.
Katanya pada lawatan hari pertama, selain mengunjungi Maithripala,
timbalan perdana menteri juga dijadual mengadakan pertemuan dengan
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Sri Lanka Vajira Abeywardena di
kementerian itu di Independence Avenue dan selepas itu mengadakan
perbincangan dengan Menteri Pekerjaan Asing Thalatha Atukorale di
kementerian itu.
"Malaysia dan Sri Lanka memang menjalin hubungan dua hala yang erat
sejak hubungan diplomatik dijalin pada 1957 lagi. Walaupun ini lawatan
kerja tapi kerajaan Sri Lanka mengkelaskan lawatan beliau sebagai
lawatan rasmi," katanya.
Wan Zaidi berkata pada Jumaat iaitu hari kedua lawatan, timbalan
perdana menteri dijadual membuat kunjungan hormat ke atas Perdana
Menteri Sri Lanka Ranil Wickremesinghe di pejabat beliau di Temple Tree,
di sini dan juga mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar Sri Lanka
Mangala Samaraweera.
Katanya antara isu yang dijangka dibincangkan Ahmad Zahid semasa
lawatan itu adalah kerjasama yang boleh dilakukan oleh kedua-dua negara
dalam menangani keganasan.
"Memandangkan Malaysia amat komited dalam keamanan antarabangsa dan
keselamatan serantau, jadi hubungan termasuk dengan Sri Lanka amat
penting dalam pastikan isu-isu ini ditangani bersama, sama ada secara
dua mahupun pelbagai hala," katanya.
Menjawab satu soalan, Wan Zaidi berkata perkara berkaitan pengambilan
pekerja Sri Lanka juga mungkin dibincangkan memandangkan ada permintaan
dari kerajaan Sri Lanka untuk tambah pekerja Sri Lanka di sektor
perladangan dan perkilangan di Malaysia.
"Sri Lanka belum jadi pembekal utama pekerja asing untuk pasaran Malaysia, tapi ada permintaan untuk sektor tertentu," katanya.
Wan Zaidi berkata selain itu, esok timbalan perdana menteri juga
dijadual melakukan upacara pecah tanah kilang pembuatan minyak pelincir
Hyrax Oil Sdn Bhd di Muthurajawela, kira-kira 25 minit perjalanan dari
pusat bandar Colombo. Ia adalah projek usahasama antara syarikat
Malaysia dan Ceylon Petroleum Corporation (CPC).
Majlis ini akan turut dihadiri Menteri Pembangunan Sumber Petroleum Sri Lanka Chandima Weerakkody, katanya.
Beliau berkata Ahmad Zahid juga akan hadir pada majlis perjumpaan
dengan rakyat Malaysia yang bekerja dan menetap di Sri Lanka, selain
kumpulan-kumpulan yang menjadi rakan Malaysia (Malaysian Diasporas in
Sri Lanka and Friends of Malaysia) pada majlis makan malam di sini.
Wan Zaidi berkata pada masa sekarang terdapat kira-kira 100 rakyat
Malaysia yang bekerja dan menetap di negara Asia Selatan ini.
Pada Jumaat, katanya timbalan perdana menteri juga dijadual melawat
Asia Pacific Institute for Information Technology (APIIT) di sini selain
mengadakan pertemuan dengan kumpulan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI)
cawangan Sri Lanka, sebelum dijadual berlepas pulang ke tanah air pada
kira-kira 2 petang waktu tempatan.
Majlis DMDI melibatkan pertemuan dengan wakil-wakil masyarakat Melayu Sri Lanka.
"Semasa lawatan ke APIIT, timbalan perdana menteri akan meninjau
penglibatan institusi pendidikan Malaysia di sini,' kata Wan Zaidi.
Katanya pada masa sekarang terdapat kira-kira 1,500 pelajar Sri Lanka
di Malaysia, manakala tiada pelajar Malaysia yang belajar di Sri Lanka.
Dari segi pelancongan, kira-kira 51,000 rakyat Sri Lanka melawat
Malaysia pada 2015 dan angka itu dijangka meningkat tahun ini antara 8
hingga 10 peratus.
Sri Lanka ialah rakan perdagangan ke-46 terbesar Malaysia dan destinasi eksport ke-38 terbesar Malaysia.
Pelaburan Malaysia di Sri Lanka mencecah lebih US$ 2 bilion setakat ini.
-BERNAMA