TPM Akan Kemuka Cadangan Pembangunan Lembah Bernam Kepada Kabinet
Kawasan Lembah Bernam berpotensi dijadikan kawasan pembangunan baharu
yang dikenali sebagai Kawasan Kemajuan Lembah Bernam, kata Timbalan
Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya beliau akan mengemukakan cadangan itu kepada kerajaan Pusat
memandangkan kawasan yang merangkumi Kuala Selangor, Tanjong Karang,
Sungai Besar dan Sabak Bernam di Selangor serta sekitar Tanjung Malim
dan Bagan Datoh di Perak mempunyai potensi besar untuk dibangunkan.
"Dahulu, kawasan kita ini agak ketinggalan tetapi saya mempunyai
perancangan yang agak besar bersama (Pengerusi Barisan Nasional
Selangor) Tan Sri Noh Omar untuk membangunkan kawasan ini.
"Kawasan kita sekarang merupakan kawasan yang berpotensi untuk
pembangunan baharu," katanya semasa berucap pada majlis penerapan
nilai-nilai murni Ramadan Al-Mubarak dan berbuka puasa bersama anak
yatim dan warga emas di Sungai Panjang di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata sekiranya dilaksanakan cadangan itu, setiap kawasan
yang dibangunkan akan membolehkan penduduk menikmati kemajuan dan
peningkatan status sosial.
Ahmad Zahid bagaimanapun tidak menyatakan bila beliau akan mengemukakan cadangan itu kepada kerajaan.
Sebaliknya, beliau berkata jika semua wakil rakyat di kawasan terlibat
termasuk di Sungai Besar, yang akan memilih wakil rakyat baharunya pada
Sabtu ini, mendapat sokongan dan dokongan kuat rakyat setempat, maka
cadangan itu boleh disegerakan.
"Jika wakil rakyat kita mendapat sokongan dan dokongan yang kuat,
Insya-Allah, semakin cepatlah pembangunan di kawasan ini dan semakin
banyaklah projek-projek yang akan dinikmati," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata walaupun Selangor bukan berada di
bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN) tetapi dengan adanya calon BN
Budiman Mohd Zohdi pada Pilihan Raya Kecil Sungai Besar, ia menjadi
kesinambungan kepada Tan Sri Noriah Kasnon yang membawa banyak
pembangunan di kawasan itu.
"Jika rakyat Sungai Besar memilih calon BN, ertinya mereka mahukan
kesinambungan kepada pembangunan yang dibawa sebelum ini," kata beliau.
"Kita tahu kesinambungan ini boleh dibawa bukan sahaja oleh Anggota
Dewan Undangan Negeri yang mewakili kawasan ini, tetapi juga lebih besar
kesannya kepada kawasan ini apabila anggota Parlimen dipilih akan
mewakili kerajaan Pusat," katanya.
Ahmad Zahid berkata dengan cara itu nanti, kerajaan Pusat akan
memberikan komitmen berterusan dalam menyalurkan peruntukan kepada
anggota Parlimen berkenaan untuk membangunkan kawasan-kawasan yang
diwakili mereka.
"Insya-Allah, jika Budiman terpilih sebagai anggota Parlimen Sungai
Besar, saya berjanji untuk turun ke bawah apatah di kawasan ini, saya
fikir masih perlukan pembangunan dan saya akan turun dengan peruntukan
pembangunan," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata banyak yang telah dilaksanakan kerajaan
Pusat untuk Selangor, namun kerajaan negeri mengambil peluang melakukan
sesuatu yang menyusahkan rakyat.
Sebagai contoh, katanya kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan
Industri Asas Tani di bawah agensinya, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia
dan Jabatan Perikanan membina jeti-jeti untuk nelayan mendaratkan hasil
tangkapan laut.
Namun, menurutnya, beliau dimaklumkan kerajaan negeri bercadang
mengenakan cukai atau bayaran perkhidmatan terhadap jeti-jeti itu oleh
pihak berwajib kerajaan negeri walaupun kos pembinaan jeti itu
dikeluarkan kerajaan Pusat.
"Dalam keadaan ini, sepatutnya kalau benar mereka memikirkan nasib
rakyat, apabila kerajaan Pusat membina jeti dan kemudahan untuk rakyat,
mereka (kerajaan negeri) seharusnya tidak mengenakan sebarang bayaran
sebab mereka tidak mengeluarkan modal.
"Kerajaan Pusat yang mengeluarkan modal, maka mereka tidak boleh
mengenakan bayaran dan atas faktor itulah, calon yang mewakili kerajaan
Pusat harus diberikan dukungan, sebab Insya-Allah banyak lagi
pembangunan dan kemudahan yang akan dibawa oleh wakil rakyat BN seperti
Budiman," katanya.
-BERNAMA-