TPM Ahmad Zahid Harap Agensi Penguatkuasaan Fahami Tugas Media
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap
agensi-agensi penguatkuasaan memahami tugas media, yang antara lainnya
bertujuan memberi kesedaran mengenai agensi berkenaan kepada masyarakat.
Sambil meminta laporan mengenai sesebuah agensi penguatkuasaan tidak
disalahertikan, beliau berkata dalam dunia tanpa sempadan kini, media
berperanan memberi liputan dan pendedahan mengenai agensi
penguatkuasaan.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mengakui ada di antara
liputan media terhadap agensi penguatkuasaan yang membawa sanjungan
berikutan kejayaan yang dicapai namun, ada juga media yang melaporkan
sebaliknya.
"Ia (laporan media) bukan bertujuan negatif tetapi mengingatkan kita
supaya menggunakan kuasa dan bertindak mengikut tatacara ditetapkan.
Tetapi, kadang-kadang tulisan yang baik disalahertikan oleh khalayak.
"Saya fikir, tiada tujuannya sama ada pihak media atau penguat kuasa
menuding jari kepada satu sama lain sebaliknya, berlandaskan tugas
masing-masing yang amat diperlukan, ia perlulah difahami," katanya
ketika berucap kepada 1,000 tetamu yang menghadiri majlis berbuka puasa
Timbalan Perdana Menteri bersama-sama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan
media di kediaman rasminya Sri Satria di sini, malam ini.
Antara yang hadir ialah Timbalan-timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur
Jazlan Mohamed dan Masir Kujat, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu
Bakar, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim
serta ketua-ketua pengarang organisasi media termasuk Pengerusi dan
Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri
Azman Ujang dan Datuk Zulkefli Salleh.
Ahmad Zahid berkata beliau menganjurkan majlis berbuka puasa PDRM dan media bagi mengeratkan lagi hubungan kedua-dua pihak.
"Sebagai orang yang bertanggungjawab dalam soal keselamatan, saya harus
mengambil peduli usaha agensi penguatkuasaan, dan pada waktu sama, saya
juga harus menjaga rakan-rakan media yang membuat liputan berita.
"Saya harap apa yang akan kita hadapi di waktu-waktu mendatang dapat membolehkan hubungan (dijalin) lebih baik," katanya.
Pada majlis itu, Ahmad Zahid dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis turut
menyampaikan sumbangan kepada 101 pelajar dan guru dari Maahad Tahfiz
Akademi Iqra, Kajang.
Selepas berbuka puasa, Ahmad Zahid dan isteri serta tetamu menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih.
-BERNAMA-