Serangan Di Lapangan Terbang Istanbul Tindakan Amat Dikesali - Ahmad Zahid
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata
serangan pengebom bunuh diri di Lapangan Terbang Ataturk di Istanbul
semalam amatlah dikesali dan harus dikutuk sekeras-kerasnya oleh
masyarakat antarabangsa.
Menurut laporan dari Turki, keganasan itu mengorbankan 41 orang dan lebih 230 orang lagi cedera.
Ketika mengutuk serangan itu, Ahmad Zahid berkata, Malaysia terkejut dan
sedih setiap kali negara-negara sahabat dan wilayahnya diserang oleh
pengganas.
"Kami merakamkan simpati dan takziah kepada keluarga mangsa dan juga
kepada kerajaan Turki yang cintakan keamanan kerana menghadapi ujian
semasa bulan Ramadan yang mulia ini," kata beliau dalam satu kenyataan
hari ini.
Ahmad Zahid menegaskan bahawa usaha memerangi keganasan tidak akan terhenti malah akan diteruskan.
"Marilah kita semua teguh dan bersatu-padu dalam memerangi keganasan,
sama ada di negara sendiri atau di tempat lain. Kita tidak akan berhenti
sehingga mereka ditumpaskan sepenuhnya," katanya.
Tiga penyerang bunuh diri dilaporkan melepaskan tembakan sebelum
meletupkan diri mereka di bangunan lapangan terbang pada lewat Selasa.
-BERNAMA-