MRSM Kedua Untuk Anak Polis Bakal Dibina Di Perak Tahun Ini
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini
mengumumkan pembinaan sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Perak
khusus untuk anak-anak anggota polis.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata MRSM itu merupakan
yang kedua seumpamanya selepas yang pertama di Kulim, Kedah, bagi
menempatkan anak-anak anggota polis yang layak dari seluruh negara.
"Kita telah putuskan pembinaannya di satu kawasan yang telah dibeli dan
tender (pembinaan) dijangka dikeluarkan pada akhir bulan ini.
"Di mana (kawasan) pembinaannya akan diumumkan oleh Anggota Dewan
Undangan Negeri (ADUN) yang berkenaan," katanya kepada pemberita selepas
mengadakan lawatan ke Markas Taktikal (Martek) pilihan raya kecil (PRK)
Parlimen Kuala Kangsar di sini hari ini.
Terdahulu, dalam ucapannya Ahmad Zahid berkata pengumuman pembinaan
MRSM itu bukan semata-mata kerana PRK Kuala Kangsar, sebaliknya ia
dibuat sebagai menghargai anak-anak anggota keselamatan.
"Saya tahu anak-anak kita memerlukan tempat untuk asrama penuh. Kita
tahu anak tentera ada MRSM untuk mereka, jadi anak polis juga kena ada.
"Kita bukan cemburu dengan pasukan lain tapi saya mahu menghargai anak-anak polis," katanya.
Timbalan Perdana Menteri turut memberi jaminan akan memastikan
kebajikan polis khususnya anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang mendiami
kuarters daif diberi perhatian.
Selain itu, Ahmad Zahid meminta bayaran elaun khas kepada anggota polis
yang terlibat dalam PRK Kuala Kangsar dibayar sebelum Aidilfitri bagi
menghargai sumbangan mereka dalam memastikan proses pilihan raya kecil
itu berjalan lancar.
"Saya faham anak buah saya. Sebab itu kalau boleh bayarlah elaun
sebelum tamat pilihan raya," katanya sambil diberi tepukan gemuruh oleh
semua anggota polis yang hadir.
Seramai 1,575 anggota polis terlibat menjaga keamanan dan kelancaran kempen PRK Kuala Kangsar.
Mengenai PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Parlimen Sungai Besar,
Selangor, Ahmad Zahid turut menyifatkannya sebagai PRK paling aman dalam
sejarah PRK negara.
PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan berikutan kematian
penyandangnya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Tan Sri
Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei
lepas.
Pengundian bagi kedua-dua PRK diadakan serentak pada 18 Jun.
-BERNAMA-