Malaysia Sedia Mudahkan Laluan FDI Jepun Bagi Industri Halal
Malaysia bersedia menarik dan mempermudahkan sebarang kemasukan
pelaburan langsung asing (FDI) dari Jepun, terutamanya yang melibatkan
industri halal, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi.
Beliau, yang dalam lawatan kerja ke Jepun, berkata bagi tujuan tersebut,
kerajaan akan menyelaraskan proses kemasukan FDI dengan pihak kerajaan
negeri, pihak berkuasa tempatan, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia
(MIDA) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
"Ia mempunyai kaitan, (kerana Jepun) bukan sahaja dapat pasaran produk
halal yang pada tahun 2050 nanti akan terdapat kira-kira 2.8 bilion
penduduk dunia beragama Islam.
"Dalam masa yang terdekat, Jepun mahu menjadi tuan rumah kepada Sukan
Olimpik di mana sebahagian dari olahragawan dan olahragawati yang
datang, terdiri daripada peserta-peserta dari negara Islam.
"Maka piawaian yang tertentu (berkaitan halal) harus dipelajari oleh
mereka daripada sekarang," kata beliau kepada wartawan Malaysia di sini,
selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan rakan sejawatnya di Jepun,
Taro Aso, merangkap Menteri Kewangan negara matahari terbit itu.
Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Majlis Halal Malaysia, berkata Aso
menyatakan hasrat mempelajari bagaimana industri Halal dapat digunakan
terutamanya dalam industri pemakanan.
Beliau berkata Aso turut kagum dengan piawaian halal yang dikeluarkan
oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan usaha
pengantarabangsaannya oleh Halal Development Corporation (HDC), dan
menyifatkannya sebagai 'sesuatu yang amat jauh di luar jangkaan mereka'.
Susulan itu, beliau berkata Malaysia bersedia menghantar beberapa
pegawai untuk berpangkalan di Jepun bagi membantu negara tersebut
mempelajari aspek saintifik halal dan juga prosedur operasi standard
bagi penentuan produk dan perkhidmatan halal.
Di samping itu, Ahmad Zahid berkata Jepun turut menunjukkan minat dalam
aspek keselamatan bagi penganjuran Sukan Olimpik berikutan pengalaman
Malaysia yang luas dalam menangani pihak militan dan pengganas sejak
zaman darurat lagi.
"Kami bersedia bukan sahaja bertukar maklumat, tetapi tentunya kami beri
peluang bagi (Jepun untuk) mendapatkan pendedahan dan latihan pihak
berkuasa," katanya.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata pertemuannya dengan Aso hari ini turut
melibatkan perutusan rasmi bagi menjemput beliau melawat Malaysia bagi
meraikan perayaan sambut ulangtahun ke-60 hubungan diplomatik
Malaysia-Jepun yang akan disambut pada tahun hadapan.
Katanya hubungan baik yang terjalin antara dua negara turut
diterjemahkan dalam tahap keyakinan yang tinggi oleh pelabur Jepun
terhadap iklim pelaburan dan ekonomi Malaysia.
Ini turut disokong oleh pelaburan dari syarikat Jepun di Bandar Enstek
baru-baru ini yang melibatkan jutaan dolar Amerika dalam industri
farmasutikal dan wangian.
"Beliau (Aso) menyatakan dari segi pulangan kadar simpanan di Jepun, ia
berada pada tahap sifar di mana terdapat lebihan simpanan di dalam
sistem perbankan mereka.
"Inilah masa yang sesuai untuk mereka mengembangkan pelaburan di luar
negara dan Malaysia tidak terlepas daripada untuk diterokai oleh
pelabur-pelabur Jepun bagi memperoleh pulangan pelaburan," tambah
beliau.
-BERNAMA-