Gelombang Kedua Dasar Pandang Ke Timur Mampu Lonjak R&D Malaysia
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan
lawatan kerja lima harinya ke Tokyo yang bermula hari ini, adalah
susulan gelombang kedua Dasar Pandang ke Timur (LEP 2.0) yang mampu
melonjakkan mutu penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara pada masa
depan.
Malah, jelasnya, LEP 2.0 penting kepada Malaysia berikutan kemampuan
dasar yang diperkenalkan pada 1982 mempersiapkan Malaysia ke arah
mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.
"Peratusan perbelanjaan R&D Malaysia agak rendah iaitu pada paras
dua peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sedangkan
perbelanjaan Jepun dan beberapa negara maju bagi tujuan itu adalah
sekitar 10 peratus.
"Perkara ini disebabkan oleh kekangan kewangan, namun saya yakin kalau
kita mahu berada pada tahap yang tinggi dalam teknologi serta bidang
yang memerlukan pelaburan penyelidikan yang tinggi, ia akan memberi
keberhasilan bagi satu tempoh yang panjang.
"Namun, jika peruntukan (yang telah disediakan) tidak mencukupi, saya
yakin cendekiawan dan institusi pengajian tinggi mampu memberi sumbangan
(kepada bidang R&D negara)," katanya kepada wartawan Malaysia di
sini, hari ini.
Ahmad Zahid tiba pada tengah hari Ahad bagi memulakan lawatan
pertamanya sebagai Timbalan Perdana Menteri ke negara matahari terbit
itu.
Beliau dijadual bertemu rakan sejawatannya dari Jepun, Taro Aso, pada
hari ketiga lawatan bagi mencerminkan komitmen berterusan Kuala Lumpur
kepada Jepun.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut mengingatkan Malaysia perlu bersiap
siaga dalam segala aspek kerana selain bergelar negara berpendapatan
tinggi, rakyat juga perlu memiliki sikap serta pemikiran yang maju.
Malaysia memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur dalam usaha mencontohi
etika dan teknik perniagaan negara-negara seperti Jepun dan Korea
Selatan.
-BERNAMA-