BN Guna Strategi 'Kempen Tanpa Calon' Bagi PRK Kuala Kangsar
TOKYO, 30 Mei - Barisan Nasional (BN)
akan menggunakan strategi 'kempen tanpa calon' bagi Pilihan Raya Kecil
(PRK) Parlimen Kuala Kangsar susulan calonnya, Datin Mastura Mohd Yazid,
yang masih berada dalam tempoh edah.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata
strategi yang julung kali diguna pakai jentera BN semenjak parti itu
ditubuhkan, telah mengambil kira fatwa mengikut hukum qat'ie dalam Islam
yang berkaitan tempoh edah seseorang wanita yang kematian suami.
"UMNO mengadakan perbincangan dengan beberapa ulama, termasuk mereka
yang menganggotai jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan, selain turut
berbincang dengan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria, bagi
mendapatkan pandangan dan pendapat," katanya kepada wartawan Malaysia di
sini bagi menjernihkan beberapa pendapat yang berbeza tentang kedudukan
calon BN dari segi kedudukan edah dalam hukum Islam.
Beliau berkata beberapa kaedah telah dicari untuk memperkenalkan
Mastura kepada pengundi termasuk merakamkan ucapannya yang akan
disiarkan di semua pusat daerah mengundi dan lokasi-lokasi sasaran,
selain melalui komunikasi tanpa lisan.
"Yakinlah, kaedah ini telah kami (BN) fikirkan bagi menghormati hukum
yang telah ditentukan dan diharap pengundi di Kuala Kangsar yang hampir
60 peratus beragama Islam memahami situasi itu," katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata strategi kempen tanpa calon itu telah
dijelaskan kepada pemimpin komponen parti BN yang bukan beragama Islam
di Kuala Kangsar supaya mereka dapat menjelaskan isu berkenaan kepada
para pengundi.
Beliau berkata Mastura akan berada di rumahnya sepanjang kempen diadakan kerana masih dalam tempoh edah.
Ditanya mengenai penerimaan Mastura oleh pengundi di kerusi Parlimen
Kuala Kangsar, Ahmad Zahid berkata calon BN itu mempunyai kelebihan
tersendiri yang berpengalaman luas dalam bidang politik negara dan
banyak bergaul dengan pengundi kawasan itu semasa suaminya Allahyarham
Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad menjadi Anggota Dewan
Undangan Negeri Bukit Chandan dari 2004 hingga 2013, dan kemudian
sebagai Anggota Parlimen Kuala Kangsar sejak 2013.
"Saya yakin beliau akan diterima baik berbanding calon lain yang tidak
bergaul di kawasan undi..., dan tentunya beliau akan melakukan yang
terbaik," katanya.
Menyentuh usul Rang Undang-undang Persendirian bagi meminda Rang
Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) di Kelantan,
beliau berkata ia tidak akan menjejaskan mereka yang bukan beragama
Islam.
Ahmad Zahid berkata sebelum rang undang-undang itu diluluskan dan
dikuatkuasakan ia perlu melalui tujuh peringkat, termasuk mendapat
kelulusan Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Majlis Raja-raja.
"Kesemua proses tersebut akan memakan masa yang panjang. (Selain itu)
ia hanya akan dilaksanakan di Kelantan. Saya harap orang bukan Islam
jangan terlalu khuatir tentang usul persendirian yang dibawa Datuk Seri
Abdul Hadi Awang (Anggota Parlimen Marang dan Presiden PAS)," katanya.
-BERNAMA-