Prosedur Operasi Standard Urus Keselamatan Aset Strategik Dikaji Semula
Prosedur operasi standard (SOP) pengurusan keselamatan segala aset
strategik negara perlu dikaji semula susulan bentuk ancaman keganasan
yang semakin berubah dari semasa ke semasa.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata
definisi aset strategik sebelum ini hanya memfokuskan kepada aset-aset
penting kerajaan perlu diperhalusi semula memandangkan banyak aset-aset
penting kini dimiliki pihak swasta termasuk stesen janakuasa elektrik
dan stesen televisyen.
SOP pengurusan keselamatan aset strategik dibuat 40 tahun dahulu hanya
tertumpu kepada aset kerajaan yang dikhuatiri menjadi sasaran ancaman
komunis tetapi banyak aset itu telah diswasta atau dikorporatkan,
katanya semasa merasmikan Seminar Sasaran Penting peringkat Kebangsaan
2016 di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menjelaskan, ancaman
keganasan kini semakin berbeza berbanding 40 tahun dahulu dengan risiko
serangan hanya tertumpu kepada aset kerajaan ketika itu.
Katanya, insiden serangan yang berlaku baru-baru ini seperti di Jakarta
dan Brussels juga menunjukkan serangan kini bukan hanya mensasarkan
aset-aset penting tetapi juga tempat menjadi kunjungan orang ramai
seperti pusat beli belah dan stesen pengangkutan awam.
Ahmad Zahid berkata, ancaman pada hari ini harus dilihat dalam skop
yang berbeza dan secara holistik untuk menentukan kesesuaian persediaan
untuk menghadapinya.
"Jangan dilihat bila telah berlaku, maka baru kita hendak mengambil tindakan, kita harus bersedia sebelum ia berlaku," katanya.
Dalam hal itu, Ahmad Zahid berkata, tanggungjawab menjaga keselamatan
aset-aset strategik bukan hanya terletak di atas bahu pasukan
keselamatan sahaja, tetapi juga pihak swasta yang memiliki aset
tersebut.
Beliau berkata perlu ada kerjasama antara pihak keselamatan dengan pihak swasta untuk tujuan itu.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata kaedah tapisan keselamatan terhadap
pekerja dan pengunjung di premis aset-aset strategik juga perlu dilihat
semula bagi memastikan tahap keselamatannya terjamin.
Ahmad Zahid turut menyentuh mengenai peranan pengawal keselamatan dan
kelengkapan keselamatan seperti kamera litar tertutup yang amat penting
dalam memastikan keselamatan di kawasan-kawasan tersebut.
Selain itu, jelasnya, soal ancaman keselamatan juga bukan hanya merujuk
kepada serangan secara fizikal, tetapi turut membabitkan serangan
secara siber terutama kebocoran maklumat.
Seminar sehari itu bertemakan 'Sasaran Penting Terpelihara,
Mensejahterakan Rakyat' bertujuan membincangkan strategi pengurusan dan
merangka dasar berkaitan pengurusan keselamatan aset-aset strategik.
-BERNAMA-