Program Melatih Bakal Juara Di Usia Muda Perlu Diperhebatkan
Program latihan sistematik dan bersepadu bagi melatih bakal-bakal juara
sejak peringkat usia muda perlu diperhebatkan, kata Timbalan Perdana
Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata usaha pencarian bakat-bakat muda ini perlu dilakukan di
seluruh negara dan tidak tertumpu di kawasan bandar sahaja.
"Kita mempunyai contoh bagaimana bakat terpendam seperti (penerjun
Olimpik negara) Pandelela Rinong yang berasal daripada masyarakat
Bidayuh di Bau, Sarawak yang dilatih di Sekolah Sukan Bukit Jalil,
menjadi antara yang terbaik dalam sukan terjun di peringkat
antarabangsa.
"Begitu juga saudara Khairul (Idham Pawi) yang saya difahamkan bermula
(berjinak dengan dunia permotoran) pada usia 12 tahun," kata Ahmad
Zahid.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Persatuan
Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 2015 di sebuah hotel di sini, malam
ini.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata lebih ramai pakar pencari bakat
perlu diwujudkan bagi mencungkil bakat-bakat terpendam di seluruh
negara.
Untuk rekod, Khairul Idham, 17, mencipta sejarah menjadi pelumba
pertama Malaysia memenangi kategori Moto3 pada Kejuaraan MotoGP Dunia di
Argentina, awal bulan ini.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri yakin kontinjen negara mampu
menjadi juara keseluruhan ketika Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA
2017.
Keyakinan berkenaan berdasarkan pencapaian cemerlang kontinjen negara
selepas mengutip 186 pingat keseluruhan pada Sukan SEA 2015 di
Singapura.
"Saya juga meletakkan kepercayaan kepada KBS (Kementerian Belia dan
Sukan) dan Majlis Olimpik Malaysia untuk memastikan penganjuran Sukan
SEA terbaik mampu dihasilkan (sekali gus) menepati tema Sukan SEA
-'Rising Together'- sebagai platform kebangkitan Malaysia dalam medan
sukan antarabangsa," kata Ahmad Zahid.
Pada majlis berkenaan, Ahmad Zahid menyampaikan trofi anugerah Atlet
Terbaik SAM 2015 dan wang tunai RM10,000 kepada penerjun Olimpik negara,
Pandelela Rinong.
Pengurus Besar Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Yan Kong Lee
mewakili Pandelela menerima trofi berkenaan memandangkan atlet kelahiran
Sarawak itu sedang menyertai Kejohanan Siri Terjun Dunia Ketiga FINA di
Windsor, Kanada.
Ia merupakan gelaran ketiga yang diraih pemenang pingat gangsa Sukan
Olimpik London 2012 itu setelah memenangi anugerah yang sama pada 2010
dan 2012.
Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Menteri Belia dan Sukan Khairy
Jamaluddin serta Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Lokman Hakim Ali.
-BERNAMA-