Kerajaan Benar Dr Zakir Berceramah Di Melaka, Perlu Tukar Tajuk
Kerajaan membenarkan pendakwah terkenal dari India Dr Zakir Naik
mengadakan syarahan umum di Melaka namun perlu menukar tajuk
syarahannya, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata beliau telah
berbincang dengan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron supaya
majlis dijadualkan pada 17 April di Universiti Teknikal Malaysia Melaka
(UteM) itu diteruskan dengan tajuk yang berbeza.
Beliau berkata tindakan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar
semalam yang mengarahkan majlis itu dibatalkan, diputuskan selepas polis
menerima aduan daripada pelbagai pihak.
"Aduan yang dibuat bukan sahaja oleh pemuka-pemuka agama Hindu tetapi
juga pemimpin-pemimpin agama Islam," katanya pada sidang media selepas
menghadiri Makmal Panel Majlis Perundingan Islam (MPI) di Pusat
Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Khalid semalam dilaporkan mengarahkan pembatalan forum bertajuk
'Similarities Between Hinduism and Islam' di Melaka itu agar tidak
menjejaskan ketenteraman awam dan sensitiviti agama di negara ini.
Ahmad Zahid berkata atas kompromi daripada pihak penganjur, kerajaan
mengambil keputusan sebaliknya hari ini kerana berpandangan majlis agama
harus digalakkan dan diraikan.
Ditanya apakah penganjur perlu memaklumkan program seumpama itu kepada
pihak berkuasa seperti polis dan pihak berkuasa agama sebelum
menganjurkannya, beliau berkata secara asasnya ia perlu dimaklumkan
kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Katanya ia penting sekiranya program itu membabitkan pendakwah daripada
luar negara kerana sebarang tindakan KDN berkenaan program tersebut
dibuat berdasarkan nasihat daripada Jakim.
"Itu pegangan kita ... dan itu juga menjadi panduan kepada KDN, di mana
agensi pelaksananya ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya, dan
menambah pihaknya tidak dimaklumkan mengenai tajuk itu sebelum ia
menjadi kontroversi.
Bagi mengelak insiden serupa berulang, beliau menyarankan penganjur
program ceramah umum, khususnya yang melibatkan penceramah luar negara
supaya memaklumkan berkenaan tajuk dan topik perbincangan kepada Jakim
terlebih dahulu.
Berhubung tanggapan sesetengah pihak bahawa Dr Zakir itu sendiri punca
kontroversi, Ahmad Zahid berkata semua pihak perlu berfikiran terbuka
dan meraikannya atas nama majlis ilmu.
"Ini soal majlis ilmu, dan majlis seperti ini mesti diraikan asalkan ia bukannya Islam liberal atau Islam plural," katanya.
Sementara itu di MELAKA, Idris berkata kerajaan negeri tiada halangan bagi penganjuran syarahan Dr Zakir di UTeM.
"Saya sendiri mengenali Dr Zakir Naik sebagai penceramah yang cukup luas
pengetahuan dan kepakaran dalam bidang agama, malah selain memberi
pengetahuan beliau penggiat kebajikan dikenali dunia," katanya kepada
pemberita.
Idris berkata beliau juga ditemui sekumpulan penganut agama bagi memohon
beliau membatalkan program tersebut, namun menegaskan kepada kumpulan
itu tiada apa yang perlu dibimbangkan sekiranya pegangan agama
masing-masing kukuh.
-BERNAMA-