Jangan Politikkan AES, Kata Ahmad Zahid
Pemasangan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) tidak seharusnya
dipolitikkan kerana ia merupakan usaha kerajaan untuk mengurangkan
kadar kemalangan jalan raya, tegas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri
Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata pelaksanaan sistem AES bukan satu tindakan menghukum
sebaliknya ia merupakan langkah pencegahan memandangkan jumlah
kemalangan termasuk kemalangan maut di negara ini amat membimbangkan.
"Budaya dan sikap serta kaedah pemanduan perlu diubah kalau kita (pengguna) jalan raya tidak mahu dikenakan tindakan.
"Saya tahu ia akan mengundang pelbagai persepsi, tapi pelaksanaan
sistem ini telah lama ditangguhkan, jumlah denda juga dikurangkan
daripada RM300 kepada RM150 walaupun ada yang anggap membebankan,"
katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri bercakap kepada pemberita
selepas merasmikan 'Expo Outreach Dana Bumiputera @ Perak anjuran Pemuda
UMNO Malaysia di sini hari ini.
Pada Sabtu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata
sebanyak 1,200 lagi kamera AES akan dipasang di lokasi-lokasi strategik
di seluruh negara bagi merakam gambar kenderaan yang melanggar
peraturan jalan raya.
Menurut Khalid dengan langkah itu, para pemandu di negara ini akan dapat dididik mematuhi undang-undang.
Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri berkata pemasangan kamera AES
akan dibuat oleh anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera yang
dilantik, manakala Bahagian Trafik Polis Diraja Malaysia
bertanggungjawab melaksanakan pemantauannya.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai
Kemalangan Jalan Raya berharap Kementerian Pengangkutan dapat
memperhebat kempen bagi menjelaskan mengenai AES seterusnya mendidik
orang ramai menjadi pengguna jalan raya yang berhemah.
Setiap tahun purata 445,000 kemalangan jalan raya berlaku di Malaysia
dan daripada jumlah itu kira-kira 6,500 kes berakhir dengan kematian,
katanya
-BERNAMA-