Gapena Perlu Hasilkan Lebih Banyak Karya Futuristik
Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) perlu menghasilkan
lebih banyak karya penulisan dan sastera berbentuk futuristik yang
boleh menggambarkan bentuk politik dan budaya negara di masa hadapan,
kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata ia penting untuk memberi gambaran kepada generasi hari
ini bagaimanakah keadaan negara selepas tahun 2020 ataupun setelah
negara mencapai usia kemerdekaan 100 tahun pada 2057.
"Penulisan dan sastera seperti puisi dapat melihat masa hadapan dengan
mata hati, bagaimana keadaan negara selepas tahun 2020 dan tahun 2057
selepas 100 tahun nikmat kemerdekaan," katanya ketika berucap pada
majlis sepetang penulis bersama Timbalan Perdana Menteri di Rumah Gapena
di sini hari Ahad.
Ahmad Zahid berkata selain itu karyawan Gapena juga perlu menekankan
kepentingan komunikasi tanpa lisan untuk mengatasi komunikasi lisan.
Menurutnya penyampaian masej dalam bentuk penulisan bukan sahaja
membolehkan kita melihat masa yang lalu malah juga apa yang akan berlaku
di masa hadapan.
Ahmad Zahid berkata karya di masa hadapan juga perlu disesuaikan dengan
perubahan teknologi kerana zaman telah berubah dan akan terus berubah
di masa hadapan.
Menurutnya teknologi tidak seharusnya menjadi pemisah usaha untuk
mengembangkan karya penulisan serta sastera sebaliknya golongan karyawan
perlu mendekatkan diri mereka dengan perubahan teknologi itu agar lebih
serasi.
Pada majlis itu, Ahmad Zahid juga mengumumkan peruntukan kerajaan
sebanyak RM5 juta kepada Gapena untuk membolehkan ia melaksanakan
program penulisan dan kesusasteraan selain untuk menambah infrastruktur
di Rumah Gapena termasuk pembinaan pagar baharu.
Pada majlis yang sama beliau turut melancarkan sembilan penerbitan buku yang dihasilkan anggota Gapena.
-BERNAMA-