Malaysia Tuan Rumah Bengkel Antarabangsa Deradikalisasi Pada 2016
Malaysia dan Indonesia akan bekerjasama dalam program deradikalisasi
dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia akan menjadi tuan rumah
bengkel antarabangsa deradikalisasi pada 2016.
Bengkel itu dijangka diadakan pada Januari depan dan akan menyediakan
prosedur operasi standard untuk menangani radikalisasi atau kegiatan
radikal, menurut kenyataan Pejabat Timbalan Perdana Menteri.
"Selain Indonesia, negara-negara lain yang akan dijemput adalah seperti
United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia," menurut kenyataan itu
yang dikeluarkan bersempena lawatan rasmi empat hari Timbalan Perdana
Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Indonesia bermula Jumaat.
Menurut kenyataan itu, Malaysia dan Indonesia turut membincangkan usaha
untuk meningkatkan kerjasama dan pertukaran maklumat risikan mengenai
isu anti-keganasan.
"Perbincangan dua hala Malaysia dan Indonesia
juga bersetuju menjalin kerjasama serantau dalam mengawal masalah
jerebu," menurutnya.
Menurut kenyataan itu, pihak Indonesia
bersetuju untuk memperketatkan penguatkuasaan undang-undang berkaitan
jerebu manakala Malaysia akan memantau syarikat berkaitan kerajaan milik
Malaysia yang beroperasi di Indonesia bagi memastikan mereka tidak
menyumbang kepada jerebu.
Kegiatan membersihkan hutan dengan cara
pembakaran di Indonesia pada setiap tahun telah menyebabkan jerebu yang
turut menjejaskan negara-negara di rantau ini, terutamanya Indonesia,
Malaysia dan Singapura.
Kenyataan itu turut menyentuh mengenai
isu pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia di Malaysia dan
menyatakan Malaysia telah menganjurkan program pemutihan untuk PATI
Indonesia terutamanya yang telah mempunyai pekerjaan dan majikan tetap.
"Kerjasama kedua-dua negara akan diteruskan mengenai isu PATI ini,"
menurut kenyataan itu sambil menyatakan langkah itu dipandang serius
oleh kedua-dua pihak bagi mengelakkan berulangnya insiden seperti
kejadian bot karam PATI Indonesia baru-baru ini.
Menurut kenyataan itu, isu persempadanan kedua-dua negara turut dibincangkan selain isu ekonomi dunia dan dagangan dua hala.
"Timbalan Perdana Menteri juga dijangka berjumpa dengan Hanif M.
Dhakiri, Menteri Ketenagakerjaan dan Transmigrasi dan Jahyo Kumolo,
Menteri Dalam Negeri Indonesia," menurutnya.
Menurut kenyataan
itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri juga dijadual menghadiri
majlis perjumpaan dengan warga Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia di
Jakarta.
Beliau juga dijadual bertemu dengan Menteri Koordinator
Politik, Hukum dan Keamanan Luhut Binsar Pandjaitan dan mengadakan
kunjungan hormat ke atas Yusuf Kalla, yang merupakan wakil kepada
Presiden Republik Indonesia.