Malaysia-Indonesia Cari Penyelesaian Jangka Panjang Isu Jerebu
Malaysia dan Indonesia akan mengambil beberapa langkah penyelesaian
jangka panjang dalam menangani masalah jerebu rentas sempadan yang
berulang setiap tahun, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku
Jaafar dan Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, Dr. Siti
Nurbaya Bakar akan mengemukakan beberapa butiran berhubung isu tersebut. Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata demikian kepada
pemberita semasa lawatan kerja hari pertama ke republik itu, di sini
hari ini.
Masalah jerebu rentas sempadan merupakan sejarah berulang melanda beberapa negara Asia Tenggara sejak dahulu lagi. Ia dikatakan berpunca dari Indonesia disebabkan aktiviti pembakaran hutan untuk tanaman kelapa sawit dan pulpa di negara itu.
Ahmad Zahid, yang dalam rangka lawatan kerja empat hari itu, tiba di
sini pada pukul 9 pagi waktu tempatan (10 pagi waktu Malaysia). Lawatan Ahmad Zahid ke Indonesia ini merupakan lawatan pertama beliau ke
luar negeri sejak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 28
Julai lepas.
Sebaik tiba di sini, Ahmad Zahid memulakan program
dengan mengadakan pertemuan dengan Menteri Penyelaras bagi Hal Ehwal
Politik, Perundangan dan Keselamatan, Luhut Binsar Pandjaitan.
Beliau kemudian mengadakan kunjungan hormat terhadap Naib Presiden
Indonesia, Jusuf Kalla di Istana Wakil Presiden (Pejabat Naib Presiden).
Ahmad Zahid berkata dalam pertemuan dengan Luhut, selain isu jerebu,
isu lain adalah soal ekonomi dan masalah sosial termasuk usaha
legalisasi pekerja-pekerja tanpa izin dari Indonesia di Malaysia.
"Ini termasuk untuk mereka boleh pulang (ke Indonesia) dan diberi
dokumen oleh Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur," katanya.
Ahmad Zahid berkata isu sempadan kedua-dua negara turut dibincangkan bersama Luhut. Katanya isu-isu melibatkan kedua-dua negara akan diselesaikan secara ukhuwah dan muhibah antara kedua-dua negara.
"Saya fikir permasalahan yang belum terungkai dan belum selesai, boleh
diselesaikan dengan hubungan baik antara pemimpin pertama Malaysia dan
Indonesia," katanya.
Selepas pertemuan dengan Jusuf selama sejam
itu, kedua-dua pemimpin nombor dua Malaysia dan Indonesia itu menunaikan
solat Jumaat di Masjid Baiturrahman yang terletak di kawasan Istana
Wakil Presiden.