Ahmad Zahid Arah Perhimpunan 'Jerusalem Jubilee' Diharamkan
IPOH - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi mengarahkan pihak Polis Diraja Malaysia supaya mengharamkan
perhimpunan Jerusalem Jubilee yang dijadual diadakan di Melaka dari 15
hingga 18 Jun ini.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan penganjuran
perhimpunan itu hanya akan melukakan hati umat Islam jika ia dibenarkan
berlangsung.
"Bila hati umat Islam tersentuh, terhiris, dilukai ...saya sebagai
Menteri Dalam Negeri mengarahkan pihak polis mengharamkan perjumpaan
itu. Ini adalah mesej yang lantang dan jelas.
"Sesiapa yang menganjurkan Jerusalem Jubilee, permit kamu dibatalkan di
bawah arahan rasmi saya selaku Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri,"
katanya semasa berucap pada program Penerapan Nilai-nilai Murni di Bulan
Ramadan Peringkat Negeri Perak di sini hari ini.
Pada majlis itu timbalan perdana menteri berbuka puasa dan bersama-sama
dengan hadirin menunaikan solat maghrib di Masjid Annur, Batu 8, Ulu
Kinta.
Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada 100 orang anak yatim.
Terdahulu pihak penganjur perhimpunan Jerusalem Jubilee dilapor telah
membuat keputusan untuk membatalkan perhimpunan tersebut setelah
berbincang dan mendapat nasihat daripada pihak polis.
Ketua Polis Melaka Datuk Abd Jalil Hassan berkata pihaknya telah
memanggil pihak penganjur dan mereka telah membuat keputusan sendiri
untuk membatalkan perhimpunan itu dan sehingga kini sebanyak 32 laporan
polis telah dibuat.
Ahmad Zahid dalam pada itu mengucapkan terima kasih kepasa organisasi
Islam atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang telah membuat laporan
polis bagi membantah perhimpunan tersebut.
"Beberapa laporan polis telah sampai ke Bukit Aman dan mereka merujuk
perkara ini kepada saya dan dengan kuasa Menteri Dalam Negeri, saya
arahkan PDRM membatalkan perhimpunan itu," katanya sambil menambah
meraikan penjajahan Israel ke atas Palestin turut melukakan hati rakyat
Malaysia.
Timbalan perdana menteri memberi amaran kepada semua pihak agar
menghormati agama lain dan saling menjaga toleransi beragama di negara
ini yang terdiri daripada rakyat pelbagai kaum dan agama.
"Kita menghormati agama lain walaupun ada bekas tokoh yang mengatakan
negara Malaysia bukan negara yang mengamalkan agama Islam sebagai agama
rasmi. Tetapi agama Islam adalah agama Persekutuan. Sila rujuk Perkara 3
Perlembagaan Persekutuan.
"Saya buta warna dalam menjalankan tugas yang menjaga sensitivi agama
lain. Ada perkara yang boleh dimaafkan, tetapi yang tak boleh dimaafkan
jika berkait dengan Islam, " tegas Ahmad Zahid.
Dalam pada itu beliau mengumumkan akan menganjurkan Rumah Terbuka
Aidilfitri khusus untuk Pasukan Gerakan Am (PGA) sebagai menghargai
sumbangan dan jasa mereka kepada negara.
-BERNAMA