PM Najib Jamin Kerajaan Berusaha Pastikan Keselamatan Rakyat Malaysia Di Korea Utara
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak memberi
jaminan kerajaan akan melakukan segala yang terdaya untuk memastikan
keselamatan rakyat Malaysia di Korea Utara.
Perdana Menteri berkata fokus utama kerajaan adalah untuk memastikan
rakyat Malaysia yang berada di Korea Utara pulang ke tanah air dengan
selamat.
"Saya faham perasaan dan kebimbangan keluarga serta kenalan rakyat
Malaysia yang ditahan di Korea Utara," kata Najib menerusi catatan di
laman blog beliau, hari ini.
Perdana Menteri yang kembali dari lawatan kerja ke Jakarta petang tadi
telah mempengerusikan mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Negara
(MKN) susulan tindakan Pyongyang hari ini yang mengenakan larangan
sementara ke atas semua warga Malaysia daripada meninggalkan negara itu.
Menurut Najib, beliau telah diberikan taklimat terperinci mengenai
situasi semasa yang berlaku ketika ini dalam mesyuarat yang berlangsung
kira-kira 45 minit itu.
Antara yang hadir pada mesyuarat tergempar MKN itu ialah Timbalan
Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi dan
Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Ketua Setiausaha Negara
Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Turut hadir Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali, Ketua
Pengarah Majlis Keselamatan Negara Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, Peguam
Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral
Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
Menurut Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican,
seramai 11 rakyat Malaysia, termasuk dua peserta Program Makanan Sedunia
(WFP) Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) kini masih di Korea Utara dan
dalam keadaan selamat.
Mereka yang lain terdiri daripada tiga pegawai dan kakitangan Kedutaan Malaysia serta enam anggota keluarga mereka.
-BERNAMA