Perubahan iklim mengancam dunia - TPM
MELAKA - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perubahan iklim dunia yang membawa kepada ancaman kepada kesihatan penduduk perlu diberi perhatian serius oleh masyarakat dunia.
Timbalan Perdana Menteri berkata, perubahan iklim dunia serta isu kesihatan itu yang menjadi masalah antarabangsa harus ditangani secara bersama.
Timbalan Perdana Menteri berkata, perubahan iklim dunia serta isu kesihatan itu yang menjadi masalah antarabangsa harus ditangani secara bersama.
"Jika tiada sebarang usaha kolektif dibuat mulai sekarang, perubahan iklim ini akan membawa ancaman kepada dunia. Malah, usaha serta kerjasama untuk memulihkan (selepas ini) akan menjadi lebih sukar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Perhimpunan Belia Urban Asia (AUYA) bersempena Konvensyen Antarabangsa Bandaraya Berkembar ke-17 di Hotel Hatten, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron; Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Sadique dan Datuk Bandar Melaka Bandaraya Bersejarah, Datuk Zainal Husin.
Perhimpunan itu dihadiri kira-kira 300 peserta dari 22 negara termasuk China, India, Indonesia, Korea Selatan, Maldives, Myanmar, Nepal, Nigeria, Filipina, Singapura, Thailand dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Ahmad Zahid berkata, perubahan cuaca yang melampau boleh mengakibatkan kekurangan makanan sehingga menjejaskan taraf hidup masyarakat.
"Berdepan realiti kepada permasalahan yang berlaku ini, kerajaan Malaysia melaksanakan cita-cita besar untuk mengubah negara ini menjelang tahun 2050 yang dikenali sebagai Tranformasi Nasional 2050 atau TN50.
"TN50 ini adalah pertama seumpamanya yang dilaksanakan melalui peringkat bawah ke atas serta berupaya menjadi aspirasi buat segenap lapisan masyarakat," katanya.
-Berita Harian