Penulisan Sejarah Harus Berdasarkan Fakta - TPM Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR - Penulisan sejarah harus berdasarkan
fakta dan bukan sekadar mengikut perspektif penulis yang mahu menaikkan
nama seseorang tokoh, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi.
Beliau berkata ini pernah berlaku apabila buku sejarah sesuatu negeri
atau republik ditulis mengikut perspektif penulis hingga menyebabkan
tokoh asal yang membuka negeri itu diketepikan dan sebaliknya nama tokoh
lain ditonjolkan.
"Walaupun tokoh yang ditulis penulis itu disebut oleh pakar sejarah
namun fakta sebenar diputarbelitkan sehingga mengelirukan orang ramai,"
katanya.
Beliau berkata demkian ketika merasmikan majlis penyampaian Hadiah
Sayembara Menulis Novel Sejarah untuk Remaja Dewan Bahasa dan Pustaka
(DBP) dan Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) 2015 dan Pelancaran Novel
Sejarah anjuran DBP dan PSM di sini Rabu.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan, Pengerusi
Lembaga Pengelola DBP Prof Datuk Seri Salleh Yaapar dan Pengerusi
Eksekutif PSM, Tan Sri Omar Hashim.
Ahmad Zahid berkata beliau bukannya seorang rasis tetapi berharap
supaya sejarah harus ditulis berdasarkan fakta kukuh bagi membuktikan
sesuatu peristiwa itu benar-benar berlaku.
"Dalam penulisan sejarah, penulis harus menghidangkan golongan muda
(generasi Y dan Z) dengan fakta sejarah berdasarkan kepelbagaian
metodologi supaya mereka tidak melihat sejarah itu sebagai nostalgia,"
katanya.
Pada majlis itu, lapan novel sejarah terbitan DBP dilancarkan iaitu
Mengukir Larut karya Amer Hamzah L Kadir, Puteri Negeri Rindu karya
Rahimah Muda, Awang-Kembara Mengelilingi Dunia karya Kamaludin Abduk
Settar, Raja Asal Permata Di Bumi Kuala Lumpur karya Kamarulzaman
Jaafar, Setanggi Zaman karya Wan Noor Wan Cik, Sumpah Bukit Sadok karya
Idris Boi, Malaysia Milik Kita karya Nor Azila Ishak dan Jene karya
Kasajiza A S (Zainal Abas).
Ahmad Zahid berkata DBP dan PSM harus bersama-sama melakukan kajian
mengenai sejarah dengan lebih mendalam agar pembaca memahami sejarah
kehidupan lampau dengan lebih jelas dan lengkap.
-BERNAMA