82 Peratus Projek Pembangunan Dijanjikan BN Siap Sehingga 15 Mac
KUALA LUMPUR - Sebanyak 82 peratus projek Aku Janji
Kerajaan Persekutuan (AKP) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dengan
peruntukan RM72.26 bilion telah siap sepenuhnya sehingga 15 Mac lepas.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata
antara projek terlibat adalah Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT)
laluan Sungai Buloh ke Semantan sepanjang 23 kilometer melibatkan 12
stesen.
Selain itu, penyambungan jajaran Transit Aliran Ringan (LRT) dari Sri
Petaling dan Kelana Jaya ke Putra Heights sepanjang 35.1 km dengan kos
RM9.54 bilion.
Beliau berkata projek lain ialah pembinaan 234,832 unit Rumah Mampu
Milik; pembinaan sembilan buah sekolah baharu (RM343.45 juta) dan
membaik pulih 161 buah sekolah daif di Sabah dan Sarawak (RM37 juta)
serta menaik taraf kemudahan perubatan hemodialisis di 22 buah hospital
(RM5 juta).
"Kemudahan akses jalur lebar di seluruh negara melalui penyediaan
230,366 port internet baharu dengan kos RM1.8 bilion selain pembinaan
lima buah Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan lapan Pusat Transformasi
Luar Bandar (RTC) serta pembinaan 5,797 kilometer jalan luar bandar
berturap dengan kos RM7.66 bilion," katanya dalam satu kenyataan di
sini, Selasa.
Ahmad Zahid sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa
Kebangsaan Aku Janji Kerajaan Persekutuan di Bangunan Utama Parlimen.
Mesyuarat turut dihadiri menteri-menteri serta pegawai tinggi kerajaan.
Ahmad Zahid berkata mesyuarat itu memfokuskan tiga inisiatif AKP iaitu
Menangani Kos Sara Hidup; Pembangunan Infrastruktur Bertaraf Dunia dan
Transformasi Luar Bandar; serta Membina Kecemerlangan Pendidikan.
Katanya lima kertas pembentangan telah dibincangkan pada mesyuarat
tersebut yang memberi tumpuan kepada isu kelangsungan projek, keupayaan
pencapaian sasaran inisiatif dan isu pelaksanaan semasa.
"Tanggungjawab Jawatankuasa Kebangsaan AKP ini adalah untuk memastikan
pelaksanaan kesemua janji kerajaan Persekutuan semasa PRU-13 pada tahun
2013 yang lalu berjalan lancar dan dilaksanakan sepenuhnya dengan kaedah
menyelesaikan isu-isu pelaksanaan yang memerlukan keputusan
jawatankuasa peringkat tertinggi," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata selaras dengan aspirasi 2017
sebagai 'Year of Delivery', komitmen kerajaan untuk merealisasikan AKP
diteruskan dengan pelaksanaan program dan projek seperti peningkatan
amaun Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan kos RM6.8 bilion.
Selain itu, pembinaan pusat Anjung Kasih di Hospital Queen Elizabeth di
Sabah, Hospital Sultanah Aminah di Johor dan Hospital Serdang di
Selangor, Hospital Besar Pulau Pinang dan Hospital Sultanah Bahiyah di
Kedah.
Kerajaan juga akan meneruskan program e-Usahawan dan e-Rezeki dengan
kos RM100 juta untuk meningkatkan pendapatan 300,000 peserta; dan projek
Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang bermula Julai nanti,
katanya.
-BERNAMA