Zahid: DAP Sedang Alami Krisis Kepercayaan, Rakyat Perlu Analisis
LUNDU - Tindakan tiga Anggota Dewan
Undangan Negeri (ADUN) dan seorang anggota Parlimen DAP Melaka keluar
daripada parti itu merupakan satu manifestasi masalah dalaman dan krisis
kepercayaan yang sedang dihadapi parti pembangkang itu, kata Datuk Seri
Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Saya dimaklumkan tiga ADUN dan seorang Ahli Parlimen dari Melaka itu telah keluar parti," kata timbalan perdana menteri.
Beliau percaya ini kerana kepimpinan DAP yang bersekongkol dengan tokoh
yang pernah menghentam parti itu satu ketika dahulu, kini mendapat
tentangan dari dalaman.
Oleh itu, menurutnya rakyat secara keseluruhannya perlu membuat analisis
sendiri mengenai kebolehpercayaan mereka terhadap wakil-wakil rakyat
daripada DAP susulan perkembangan terbaru itu.
"Kita tahu bahawa persekongkolan ini menerusi "perkahwinan mutaah
politik', atau 'perkahwinan sementara politik'... rakyat harus faham
mengenainya," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis
Pemimpin bersama RELA di Dewan Masyarakat Lundu, kira-kira 80km dari
bandaraya Kuching, di sini, semalam.
"Kita harap rakyat dapat menilai sendiri tentang apa yang sedang berlaku
di kalangan mereka (DAP), dan bagaimana prestasi mereka sebagai wakil
rakyat yang hanya pandai berkokok (tapi) tidak dapat berikan
perkhidmatan yang berkesan," katanya.
Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu yang turut dihadiri Ketua
Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Ahmad Zahid
mengucapkan terima kasih kepada keputusan kerajaan negeri Sarawak untuk
menambah bantuan RM16 juta kepada RELA, sebagaimana yang pernah disentuh
oleh bekas Ketua Menteri Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.
"Mana nak cari Ketua Menteri (Abang Johari) yang macam ini. Semua
dasar-dasar, janji-janji Ketua Menteri terdahulu, semuanya beliau tekad
untuk laksanakan, semuanya untuk pembangunan dan kesejahteraan Sarawak,"
katanya.
Beliau menyeru supaya semua anggota RELA berjumlah 345,000 di Sarawak
menyokong penuh kepimpinan Abang Johari yang dilihat serius dengan
hasrat meneruskan kesinambungan kecemerlangan kepimpinan Allahyarham
Adenan, dengan niat semata-mata untuk membangunkan Sarawak.
Beliau seterusnya mengingatkan pemilih supaya bermaai-ramai keluar
mengundi dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Tanjong
Datu pada 18 Feb ini sebagai tanda sayang serta kagum dengan kepimpinan
penyandangnya Allahyarham Adenan, dan juga tanda sokongan penuh kepada
balu Allahyarham Datuk Amar Jamilah Anu yang dipilih Barisan Nasional
untuk bertanding dalam PRK itu.
-BERNAMA