Rakyat Malaysia Dikecualikan Bayaran Visa Ke Qatar
DOHA - Rakyat Malaysia yang
berkunjung atau melancong ke Qatar akan dikecualikan daripada bayaran
visa tidak lama lagi, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata persetujuan rasmi ini diberikan secara
peribadi oleh Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Qatar, Sheikh
Abdullah Nasser Khalifa Al Thani selepas perkara itu dibangkitkan pada
pertemuan mereka di sini.
"Ini merupakan satu keputusan baharu yang tercapai dan dipersetujui
bersama oleh kerajaan Qatar," katanya kepada wartawan Malaysia selepas
mengakhiri lawatan kerja empat hari ke Qatar, malam tadi.
Menurutnya, persetujuan ini akan berkuat kuasa segera selepas Duta
Besar Malaysia di Qatar, Datuk Ahmad Jazri Mohd Johar membuat tindakan
susulan dengan kerajaan Qatar.
Beliau berkata selain itu rakyat Malaysia juga diberikan kemudahan visa
ketibaan (VOA) dan mereka boleh menetap di Qatar selama 60 hari dan
tambahan 30 hari lagi jika ada permohonan lanjutan secara percuma.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata kerajaan Qatar
bersetuju mengecualikan caj visa VOA sebagai tanda pengiktirafan dan
penghargaan atas sumbangan rakyat Malaysia yang banyak bekerja dalam
bidang profesional dan teknikal di sini.
Katanya, langkah pengecualian bayaran visa itu juga bertujuan untuk
menggalakkan lebih ramai pelancong Malaysia untuk datang ke Qatar pada
masa depan.
Katanya, jemaah Malaysia yang ingin menunaikan ibadah umrah dan ziarah
di tanah suci boleh mengambil kesempatan ini untuk singgah sebentar di
Qatar semasa dalam perjalanan pergi atau balik daripada Mekah atau
Madinah.
Pada masa ini, rakyat Malaysia dikenakan bayaran visa sebanyak 100
Riyal Qatar (RM121.70) untuk tempoh kemasukan selama 30 hari dan turut
dikenakan jumlah bayaran sama bagi lanjutan 30 hari lagi jika ada
permohonan.
-BERNAMA