Rakyat India Di Luar Negara Dikecualikan Visa Ke Malaysia, Kata TPM
DOHA - Warganegara India yang kini menetap di luar
negara turut menikmati faedah pengecualian visa apabila melancong dan
berkunjung ke Malaysia, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan perdana menteri berkata keputusan Kabinet untuk mengecualikan
visa kepada pelancong dari India sebelum ini sewajarnya diberikan juga
kepada rakyat negara itu yang menetap di luar India dalam usaha
menggandakan jumlah kemasukan pelancong kumpulan itu.
"Kita mengalu-alukan kedatangan mereka ke Malaysia sebagai pelancong.
Ini akan memberikan sumbangan pendapatan tukaran asing kepada negara
kita melalui peningkatan jumlah kemasukan pelancong," katanya kepada
wartawan Malaysia di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berada di sini bermula semalam bagi lawatan kerja empat
hari ke Qatar atas undangan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri
Qatar Sheikh Abdullah bin Nasser bin Khalifa Al Thani.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata bagaimanapun
pengecualian itu tidak bermakna kerajaan melonggarkan tahap keselamatan
sebaliknya mereka perlu juga melalui tapisan keselamatan kemasukan
melalui Sistem Saringan Awal Penumpang (APSS) di lapangan terbang atau
pintu masuk negara.
Menurutnya kelonggaran itu pasti menjadi daya penarik khususnya kepada
kira-kira 500,000 rakyat India yang berada di Qatar sebagai ahli
perniagaan, pengurusan profesional dan kumpulan teknikal untuk
mengunjungi Malaysia selepas ini.
Ahmad Zahid berkata selaku pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pelancongan,
antara misinya ke Qatar adalah untuk menarik lebih ramai pelancong dari
negara ini ke Malaysia berikutan terdapat penurunan ketara bilangan
pelancong sejak beberapa tahun lepas.
"Pada tahun lepas, cuma 5,000 pelancong sahaja dari Qatar direkodkan.
Kita perlu tingkatkan usaha menarik lebih ramai pelancong dari Asia
Barat melalui sokongan dan kerjasama syarikat dan ejen-ejen
pelancongan," katanya.
Ahmad Zahid berkata beliau juga berhasrat untuk meningkatkan bilangan
penerbangan daripada rantau ini ke Malaysia yang juga menyaksikan
penurunan akhir-akhir ini, melalui kerjasama syarikat dan ejen
pengendalian pakej umrah.
"Ini saya akan bincang dengan syarikat dan ejen pakej umrah ketika berada di sini," katanya.
Timbalan perdana menteri berkata dalam tempoh kunjungannya ke Qatar
beliau juga akan mengadakan perbincangan dua hala dengan kepimpinan
negara ini dalam usaha untuk meningkatkan dagangan kedua-dua negara.
Katanya dalam tempoh dua tahun lepas jumlah dagangan kedua-dua negara
menyaksikan penyusutan yang antaranya berpunca daripada penurunan harga
minyak dan gas hingga menjejaskan kedua-dua negara.
"Saya berhasrat untuk menterjemahkan komitmen yang dibuat sebelum ini
dilaksanakan bagi meletakkan semula Qatar sebagai sebuah negara yang
mempunyai potensi yang amat penting kepada Malaysia," katanya.
Ahmad Zahid berkata sehubungan itu beberapa perjanjian yang masih di
peringkat draf yang diusahakan oleh majlis perniagaan kedua-dua negara
akan dimuktamadkan secepat mungkin.
Katanya selain perjanjian melibatkan industri pelancongan dan
pelaburan, perjanjian melibatkan pertukaran maklumat keselamatan,
pertahanan dan pertukaran dan latihan pegawai juga akan dilaksanakan.
Ahmad Zahid juga berkata berikutan Qatar terpilih sebagai tuan rumah
bagi kejohanan Piala Dunia Fifa 2022, syarikat dari Malaysia juga
berpotensi untuk terbabit dari sudut perbekalan barangan dan peralatan
yang diperlukan Qatar bagi menjayakan temasya sukan berprestij itu.
Pada lawatan ini, Ahmad Zahid menghadap Emir Qatar Sheikh Tamim Hamad Al-Thani dan kemudiannya mengunjungi Sheikh Abdullah.
Lewat hari ini, beliau akan menghadiri majlis makan malam bersama rakyat Malaysia di sebuah hotel di sini.
-BERNAMA