Dialog TN50: Ekstremisme Dan Perpaduan Kaum Antara Dibahas
NILAI - Isu pendidikan, ekonomi, institusi agama,
perpaduan kaum dan ekstremis agama merupakan isu utama yang mendominasi
Dialog Perdana Transformasi Nasional 2050 (TN50) antara Timbalan Perdana
Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan golongan belia, baru-baru
ini.
Sesi dialog itu dipengerusikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana
Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bermula 8.30 malam di Universiti
Sains Islam Malaysia (USIM), dengan timbalan perdana menteri menjawab
soalan yang diutarakan peserta.
Antara topik paling menarik adalah mengenai ekstremis dan radikalisme
agama dibangkitkan penyanyi dan pendakwah, Hafiz Hamidun yang melahirkan
kebimbangan kecanggihan teknologi masa kini mampu menyumbang kepada
keadaan itu akibat penyalahgunaannya.
Sementara Pencetus Ummah Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan berkata perhimpunan
Rang Undang-Undang (RUU) 355 yang berlangsung pada Sabtu lepas, dilihat
mampu mewujudkan dua kumpulan - ekstremis dan liberalisme agama.
Mengulas perkara itu, Ahmad Zahid berkata komunikasi tanpa lisan
menguasai sistem komunikasi media sosial masa kini yang mewakili 87
peratus, manakala baki 13 peratus menerusi media konvensional.
"Perekrutan oleh ekstremis dilakukan oleh komunikasi tanpa lisan. Buat
masa ini, daripada 157 rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan ekstremis
di Iraq dan Syria, 37 daripadanya telah gugur. Mereka cari jalan
singkat ke syurga.
"Sebanyak 87.5 peratus kajian mendapati mereka yang menyertai kumpulan itu tiada asas pendidikan agama," katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kementeriannya
berjaya memulihkan 87.5 peratus individu terlibat secara langsung dengan
kumpulan ekstremis menerusi program deradikalisasi yang turut dikongsi
bersama negara lain.
Mengenai komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan agama Islam di negara
ini menjelang 2050, timbalan perdana menteri berkata pelbagai usaha
telah dilakukan kerajaan seperti maqasid syariah, wasatiyyah dan
perbankan Islam.
"Komitmen kerajaan untuk melaksanakan Islam yang syumul bukan retorik," katanya.
Beliau berkata ini dibuktikan melalui pembiayaan 42,681 Kelas Al-Quran
dan Fardhu Ain (KAFA) menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),
72 Sekolah Menengah Agama dan 332 Sekolah Agama Negeri, oleh kerajaan
persekutuan.
"Ini membuktikan komitmen kerajaan persekutuan untuk membantu
pembangunan dan penterjemahan untuk mensyumulkan Islam," katanya, sambil
melahirkan harapan agar 102,000 penghafaz al-Quran di negara ini dalam
bidang profesional pada 2050 berbanding 1,513 orang ketika ini.
Kepada soalan penulis novel Ain Maisarah yang berharap golongan belia
tidak mudah terpengaruh dengan budaya barat, Ahmad Zahid berkata beliau
yakin walaupun setiap universiti di negara ini mempunyai modul berbeza,
mereka tetap komited mengangkat soal ketamadunan dan peradaban.
"Ia tidak boleh dihentikan. Kita harus berikan nafas untuk memberi
kesinambungan merealisasikan ketamadunan. Malah kita nak
'memprofesionalkan ulama'," katanya.
Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh, Menteri
Besar Negeri Sembilan Dato' Seri Utama Mohamad Hasan, Menteri di Jabatan
Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta Naib Canselor USIM
Prof Datuk Dr Musa Ahmad.
-BERNAMA