TPM Buka Ruang Seluas-luasnya Pada SPRM Untuk Siasat Ahli Politik
PUTRAJAYA - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi membuka ruang seluas-luasnya kepada Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dan mengambil tindakan
ke atas ahli politik yang disyaki terlibat dengan rasuah.
Malah, tegas Naib Presiden UMNO itu, ruang dan peluang siasatan turut
diberikan ke atas mana-mana ahli perniagaan, atau mereka yang
berjawatan.
"Saya fikir SPRM bukan hanya diperundangkan tetapi
mempunyai kuasa mutlak untuk memburu siapa sahaja termasuk ahli politik,
ahli perniagaan atau pemegang-pemegang jawatan.
"Saya secara
rasmi memberikan ruang yang sepenuhnya untuk SPRM bukan sekadar
menyiasat, tetapi menggeledah semua maklumat diperolehi," katanya dalam
sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat Kehormat RELA kepada Ahli
Mesyuarat Pengurusan Tertinggi Kementerian Dalam Negeri di sini hari
ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad semasa
menjadi tetamu Hari Ini 8 berkata , pihaknya tidak akan teragak-agak
untuk mengambil tindakan ke atas ahli politik yang korup, tidak kira di
peringkat bawah mahupun tinggi.
Pada masa sama, tegas Ahmad
Zahid, agensi penguatkuasa itu ada kuasa untuk melakukan penggeledahan
bagi mendapatkan bukti dan maklumat yang diperlukan.
Bagaimanapun beliau juga berharap SPRM melakukan siasatan dengan berkesan dalam menghadapi cabaran media sosial hari ini.
"Namun harus diperbandingkan antara fitnah dalam media sosial dengan
realiti. Jadi untuk menghadapi realiti itu, SPRM harus bertindak segera
untuk melakukan penyiasatan dan penggeledahan terhadap semua pertuduhan
itu apatah lagi ia melibatkan pemegang jawatan di mana-mana kementerian
atau jabatan," kata beliau.
Tambahnya lagi, seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), SPRM juga
mempunyai kuasa atau waran untuk melakukan penggeledahan ke atas premis
atau kediaman suspek bagi mendapatkan maklumat siasatan.
"Mereka (SPRM) pun ada kuasa (waran) juga (untuk menggeledah) ," ujarnya.
-AstroAwani